Sokongan SPRM terhadap Azam tidak bermakna, kata Kit Siang


Raevathi Supramaniam

Lim Kit Siang berkata kontroversi Azam dapat diselesaikan jika beliau sedia hadir secara sukarela di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di Jabatan Perdana Menteri untuk membersihkan dirinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2022.

KENYATAAN pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberikan sokongan kepada ketuanya Azam Baki tidak bermakna jika seluruh negara berpendapat sebaliknya, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata, sokongan mereka tidak mempunyai nilai hakiki untuk membebaskan Azam.

“Apa guna tiga timbalan pesuruhjaya SPRM menyokong kepimpinan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM jika seluruh negara berpendapat sebaliknya?

“Adakah tiga timbalan pesuruhjaya SPRM serius mencadangkan supaya ahli akademik Edmund Terence Gomez meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM adalah bermotifkan politik?

“Bolehkah ketiga-tiga timbalan pesuruhjaya SPRM itu lebih jelas dan spesifik?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, SPRM menganggap dakwaan terhadap Azam bermotif politik untuk memburukkan imej badan pencegah rasuah itu.

Kenyataan itu ditandatangani timbalan ketua SPRM Ahmad Khusairi Yahaya (operasi), Norazlan Razali (pencegahan) dan Jumipah Wandi (pengurusan dan profesionalisme).

Kenyataan menyokong ketua badan antirasuah itu dibuat susulan dakwaan ketidakwajaran dalam pegangan saham Azam.

Lim, yang juga ahli parlimen Iskandar Puteri, turut mempersoalkan Azam tidak mahu hadir secara sukarela di hadapan jawatankuasa pilihan Parlimen untuk membersihkan namanya.

“Keseluruhan kontroversi Azam akan dapat diselesaikan jika Azam bersedia untuk hadir secara sukarela di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di Jabatan Perdana Menteri untuk membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan.”

Pada Rabu, Azam menafikan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat, termasuk konglomerat, menyebut tuduhan terhadapnya berniat jahat dan “pembohongan” untuk menimbulkan syak wasangka terhadapnya.

Azam dilaporkan memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun sama dan 1.02 juta saham dalam Gets Global pada tahun berikutnya.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang bagaimanapun membebaskan Azam daripada salah laku selepas menjelaskan sahamnya dibeli adiknya menggunakan akaunnya.

Saham itu kemudiannya dipindahkan ke akaun adiknya dan oleh itu, tiada konflik kepentingan.

Bagaimanapun, semalam, enam ahli lembaga penasihat SPRM menyisihkan diri mereka daripada keputusan pengerusi untuk membersihkan Azam daripada salah laku.

Ahli lembaga pengarah berkata, mereka tidak berkongsi pandangan dengan pengerusi Abu Zahar mengenai perkara itu.

Enam ahli lembaga pengarah yang tidak bersetuju adalah Ismail Omar, Azman Ujang, Akhbar Satar, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Prof Mohammad Agus Yusoff. – 9 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen