Warga SPRM sokong Azam Baki


Tiga pemimpin kanan SPRM hari ini mengeluarkan memorandum, menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Azam Baki sebagai ketua mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2022.

SELURUH warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyokong kepimpinan Azam Baki sebagai ketua mereka, kata tiga pemimpin kanan agensi antirasuah.

Sokongan itu dinyatakan dalam memorandum yang dikeluarkan oleh tiga timbalan ketua pesuruhjaya SPRM.

“Kami mewakili seluruh warga SPRM menyatakan pendirian kami menyokong kepimpinan Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki, ketua pesuruhjaya SPRM,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Ahmad Khusairi Yahaya, Norazlan Mohd Razali (pencegahan) dan Junipah Wandi (pengurusan dan profesionalisme).

“Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi ketua pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta,” tambah mereka.

Menurut mereka isu pemilihan saham Azam timbul kerana “politik dendam” untuk merosakkan nama baik SPRM.

“Kami berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

“Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan pemilikan saham Azam, yang didakwa melanggar undang-undang sekuriti dan peraturan sebagai penjawat awam.

Azam didakwa memiliki berjuta-juta saham dan waran dalam dua syarikat senaraian awam pada 2015 dan 2016, semasa beliau memegang jawatan sebagai pengarah siasatan SPRM.

Azam menafikan salah laku sebaliknya mendakwa adiknya menggunakan akaun atas namanya untuk membeli saham berkenaan.

Susulan pengakuan itu, Suruhanjaya Sekuriti berkata mereka akan menyiasat Azam mengikut Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Semalam, Polis Diraja Malaysia juga memaklumkan semua laporan yang dibuat terhadap Azam dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti untuk siasatan.

Rabu lepas, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang berkata pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Azam mengenai dakwaan pemilikan sahamnya.

Abu Zahar juga berkata Azam tidak melakukan sebarang jenayah dan tiada konflik kepentingan dalam soal pemilikan saham itu.

Enam ahli LPPR bagaimanapun semalam mengecualikan diri mereka daripada kenyataan tersebut dan menyifatkannya kenyataan peribadi Abu Zahar.

Mereka berkata LPPR tiada kuasa untuk menyiasat dan membersihkan nama Azam.

Malah cadangan mereka supaya isu Azam diangkat untuk siasatan bebas tidak disebut oleh Abu Zahar pada sidang media selepas mesyuarat LPPR minggu lalu. – 9 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen