SASTERAWAN Filipina F. Sionil Jose meninggal dunia pada usia 97 tahun semalam, umum ahli keluarganya.
Melalui pesanan ringkas di akaun media sosial Sionil, keluarganya berkata “Ayah kami meninggal dunia dengan aman petang ini.”
Hantaran itu menyusuli catatan terakhir Sionil di Facebook yang mengucapkan terima kasih kepada mereka yang berjiwa kental.
“Ada kalanya sebagai seorang agnostik saya meragui kehadiran Tuhan. Tetapi, wahai jiwa yang berani, anda berada di sini untuk menyangkal ilusi ini, untuk menghapuskan kesimpulan yang jika anda meragui-Nya, anda membunuh Dia.
“Saya tak boleh bunuh awak; awak kena buat sendiri,” tulisnya.
Hantaran tersebut ditulis ketika mendiang menunggu untuk pembedahan angioplastinya yang dijadualkan pada Jumaat.
“Sekarang, saya berada di sini untuk menunggu angioplasti, saya harap boleh bertahan supaya dapat terus lakukan sedaya mungkin berbekalkan semangat yang anda kurniakan…
“Terima kasih jiwa yang kental dan Tuhan yang dikasihi atas kurniaan yang paling berharga ini.”
Sionil antara pengarang Filipina paling banyak dibaca yang karyanya telah diterjemahkan dalam hampir 30 bahasa.
Mendiang dinamakan sebagai sasterawan pada 2001, telah diberikan Anugerah Ramon Magsaysay untuk Kewartawanan, Kesusasteraan, dan Seni Komunikasi Kreatif pada 1980, dan Kepujian Centennial CCP untuk Seni pada 1999.
Sionil telah merangkul beberapa anugerah Memorial Carlos Palanca, termasuk dengan karya terkenalnya “The God Stealer” pada 1959.
Novelnya Mass diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan diterbitkan oleh DBP pada 1988 dengan tajuk Kota Yang Mencabar.
Novelnya Ermita juga diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan diterbitkan dengan judul sama oleh Yayasan Penataran Ilmu pada 1993.
Sionil pernah beberapa kali dicadang untuk menerima Hadiah Nobel Sastera. – 7 Januari, 2022.
Komen