Sasterawan negara Kemala meninggal dunia


SASTERAWAN Negara Ahmad Kamal Abdullah meninggal dunia hari ini, menurut Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kenyataan disiarkan agensi tersebut di media sosial merakam ucapan takziah kepada keluarga allahyarham, 80, yang popular dengan nama pena Kemala.

“Pemergian allahyarham merupakan kehilangan yang besar kepada negara khasnya dalam dunia sastera tanah air,” kenyataan itu dipetik. 

Pemergiannya turut disahkan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad, menurut laporan Berita Harian.

Menurutnya, allahyarham mengalami beberapa penyakit tersebut komplikasi ginjal dan meninggal dunia pada kira-kira jam 12 tengah hari.

“Pemergian beliau adalah kehilangan besar bagi dunia sastera Malaysia,” katanya yang menyenaraikan puisi, kritikan dan prosa bermutu tinggi sebagai antara sumbangan besar allahyarham.

Selain itu, gerakan dilancarkan allahyarham juga memberi kesan besar dalam perkembangan dan jalinan sastera antarabangsa, kata Mohamad Saleeh.

“Pena sangat menghargai sumbangannya selama ini dan untuk mengenang jasa serta sumbangan beliau, kerajaan diharap dapat merancang sesuatu yang bermakna dan monumental sifatnya.”

Laporan itu turut menyebut, jenazahnya akan disempurnakan di Surau As Shahabah, Seksyen 7 Kota Damansara dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, selepas solat Asar.

Ahmad Kamal yang menerima anugerah Sasterawan Negara pada 2012 bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1968 sehingga bersara pada 1996.

Beliau juga menerima anugerah SEA Write Awards daripada Thailand dan menerima Hadiah Sastera Malaysia sebanyak lima kali dan dua Hadiah Sastera Perdana.

Karyanya antara lain mengangkat masalah masyarakat seperti isu kelaparan tanah dan kemiskinan petani di Teluk Gong.

Karyanya diterjemah ke pelbagai bahasa termasuk Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovenia, Sepanyol dan Serbo-Croatia. – 27 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen