Tidak wajar Azam ancam pemberi maklumat, kata badan pemerhati antirasuah


Azam Baki menuntut seorang penyelidik membuat permohonan maaf secara terbuka selain membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2022.

TINDAKAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengancam pemberi maklumat adalah tidak wajar, kata badan pemerhati antirasuah.

Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata mereka kesal kerana Azam yang ditugaskan untuk melindungi pemberi maklumat, turut mengancam seorang pemberi maklumat dengan tindakan undang-undang kerana mendedahkan kesalahan yang didakwanya.

C4 merujuk kepada surat tuntutan (LOD) yang disampaikan kepada penyelidik Lalitha Kunaratnam yang menulis laporan mengenai pemilikan saham kontroversi Azam.

“Percubaan Azam Baki untuk mendiamkan dan menakutkan sama sekali tidak wajar untuk menghapuskan rasuah,” kata C4 dalam satu kenyataan.

Lalitha, semalam berkata beliau diserahkan notis tuntutan oleh firma guaman Zain Megat dan Murad, bagi pihak Azam.

“Saya menerima surat tuntutan daripada ketua pesuruhjaya SPRM. Terima kasih,” kata aktivis antirasuah itu di Twitter, melampirkan muka surat pertama notis itu.

Beliau menulis artikel dua bahagian yang diterbitkan di laman web Independent News Service bertajuk “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? Part 1 and 2”.

C4 berkata LOD disampaikan berhubung artikelnya yang memperincikan pemilikan jutaan saham Azam yang boleh dipersoalkan dalam dua syarikat tersenarai awam.

“Lalitha ialah seorang peguam bela antirasuah Malaysia yang integritinya dan kewartawanan berasaskan bukti mendapat banyak pujian. Dapatannya dalam kes ini disokong oleh dokumen yang boleh diakses secara umum.”

C4 berkata pendedahan itu dan tindak balas bermusuhan Azam menjadi satu lagi tamparan buruk kepada kredibiliti SPRM, sebuah institusi yang dimusnahkan oleh rasuah dan skandal jenayah melibatkan pegawainya sendiri.

“Ancaman undang-undangnya terhadap seorang penyokong antirasuah yang terkenal juga menegaskan risiko peribadi besar yang dihadapi pemberi maklumat apabila mendedahkan salah laku.

“Paling ironi, ia adalah Azam. Beliau sepatutnya membantu Lalitha untuk mendapatkan perlindungan pemberi maklumat.

“Prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang dipegang SPRM semuanya hancur menjadi abu dengan episod tragis ini yang akan membawa defisit kepercayaan ke paras terendah.”

C4 berkata tindakan paling tepat perlu dilakukan Azam sekarang ialah menarik balik LOD itu serta-merta dan membuktikan kepada umum yang SPRM benar-benar menyokong perlindungan pemberi maklumat.

Mereka berkata Azam mesti berhenti mengancam pemberi maklumat dan ketika kritikan sedang memuncak, mengisytiharkan hartanya.

“Tambahan pula, berdasarkan kenyataan Suruhanjaya Sekuriti bahawa ia akan memanggil Azam Baki untuk disoal siasat berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang dagangan saham ini, beliau mesti segera bercuti sehingga semua siasatan ke atas tindakannya selesai.

“Mengetuai sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah, Azam dengan tindakannya setakat ini, gagal memimpin dengan teladan dan memberi mesej yang salah.”

C4 juga menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan Pasukan Petugas Khas (STF) yang terdiri daripada personaliti bebas untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah laku Azam segera.

“Siasatan mesti dilakukan secara telus dan dapatan penuh STF mesti didedahkan kepada umum.

“Azam diminta segera bercuti bagi membolehkan siasatan menyeluruh dan tidak berat sebelah dijalankan bagi memastikan kebenaran dakwaan itu.”

C4 juga berkata satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan segera untuk melaksanakan reformasi yang sekian lama tertangguh kepada struktur SPRM, khususnya, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah yang bebas daripada pengaruh eksekutif. – 7 Januari, 2022

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen