Penyelidik terima surat tuntutan daripada Azam Baki


Ravin Palanisamy

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki semalam berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mahu mencemarkan reputasinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.

SEORANG penyelidik yang menulis artikel mengenai pemilikan saham Azam Baki hari ini menerima surat tuntutan dari ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) itu.

Lalitha Kunaratnam menerusi Twitter berkata notis tersebut diserahkan oleh firma guaman Zain Megat & Murad mewakili anak Azam.

“Saya terima surat tuntutan dari ketua pesuruhjaya SPRM. Terima kasih,” tulisnya, berserta tangkap layar notis tersebut.

Notis itu berkenaan dua artikel tulisan Lalitha bertajuk “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? (Part 1)” dan “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? (Part 2)”, yang disiarkan di laman web  Independent News Service bulan lepas.

Peguam Azam menuntut Lalitha membuat permohonan maaf secara terbuka selain membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) semalam mengumumkan Azam bersih daripada sebarang salah laku berhubung pemilikan saham syarikat korporat pada 2015.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang pada sidang media semalam berkata lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan Azam pada 24 November lalu bahawa saham tersebut dibeli adiknya Nasir Baki menggunakan akaun dagangannya.

Abu Zahar berkata pembelian saham terbabit dibuat melalui saham terbuka, yang kemudian dipindahkan semula kepada Nasir pada tahun yang sama. LPPR katanya mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan dalam perkara tersebut.

Semalam, Azam berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mahu mencemarkan reputasinya. – 6 Januari, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen