Pegawai SPRM mengaku tidak bersalah pecah amanah


Hailey Chung Wee Kye

PEGAWAI kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah barangan bernilai RM29 juta yang dirampas agensi itu.

Shahrum Nizam Baharuddin, 41, tidak dibenarkan diikat jamin.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Suzana Hussin menetapkan 18 Februari depan untuk sebutan kes.

Shahrum didakwa melakukan perbuatan itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya antara 17 Disember, 2018 dan 9 April, 2019.

Pegawai Gred 44 itu dikenakan satu pertuduhan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dua puluh tahun, dengan sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, tertuduh kini ditahan di penjara Simpang Renggam selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Peguam Shahrum, Ponnusamy Kalaichelvan telah meminta hakim menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 388 kanun prosedur jenayah untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin

Peguam itu berkata bahawa Shahrum yang sudah berkahwin dan memiliki dua anak tidak berisiko untuk melarikan diri kerana menghidap slip disc dan kanser hidung.

Pihak pendakwaan membantah dan mengatakan bahawa Shahrum telah melakukan jenayah serius.

Wan Shaharuddin menambah, tertuduh akan dikenakan banyak pertuduhan pengubahan wang haram.

September lalu, tiga pegawai kanan SPRM ditahan selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam kes bekas ketua perisik Hasanah Abdul Hamid.

Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes pecah amanah bernilai RM50.4 juta melibatkan dana kerajaan.

Kes itu ditarik balik berikutan perkembangan baharu.

Wang tunai dan barang miliknya telah dirampas oleh SPRM pada 2018 untuk siasatan.

Hasanah dilaporkan cuba menuntut semula wang yang dirampas tetapi mendapati RM29 juta hilang dan digantikan dengan wang palsu. – 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen