Bekas ketua perisik dituduh pecah amanah RM50 juta


The Malaysian Insight

BEKAS ketua perisik Hasanah Abdul Hamid hari ini dikenakan dengan satu pertuduhan pecah amanah jenayah berhubung penyelewengan sebanyak AS$12.1 juta (RM50.22 juta) di Jabatan Perdana Menteri menjelang pilihan raya umum ke-14 pada Mei lalu.

Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Hasanah diwakili peguam Shaharudin Ali, Mohd Khairul Azam dan Imran Khairi Osman.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu menahan Hasanah dan lapan individu lain daripada agensi risikan bagi siasatan kes ini.

Agensi anti-rasuah menyita AS$6.3 juta (RM26.16 juta) daripada beberapa lokasi semasa siasatan.

Rampasan terbesar sebanyak AS$4.07 (RM16.9 juta) ditemui di kondominium sewa di Cyberjaya.

Hasanah hari ini didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah yang dilakukan oleh penjawat awam atau ejen, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. – 25 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen