Tangguh perhimpunan tindakan tepat, tapi jangan lama-lama, kata pemimpin Umno


Mohd Farhan Darwis

Keputusan Umno tangguh perhimpunan agung kerana banjir adalah tepat tetapi pemimpin parti minta penangguhannya tidak terlalu lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2022.

UMNO membuat keputusan betul menangguhkan perhimpunan agung tahunannya susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri, kata beberapa pemimpin parti.

Mereka bagaimanapun mengingatkan pucuk pimpinan Umno supaya tidak menangguhkannya terlalu lama kerana ia sepatutnya dijadikan medan berbincang nasib rakyat.

Exco Pemuda Umno Bastien Onn berkata penangguhan itu wajar ketika ramai rakyat terkesan akibat banjir.

“Tangguh itu langkah yang baik, orang bertungkus lumus bersihkan rumah, di samping ada yang menanggung kerugian.

“Tapi disebabkan alasannya banjir, kita harus cepat bincangkan macam mana nak bantu rakyat Malaysia yang terkesan sebab banjir,” katanya.

Bastien yang juga ketua Pemuda Umno Segambut bagaimanapun berkata penangguhan itu tidak harus dibiarkan terlalu lama.

“Tidak boleh tangguh terlalu lama sebab mesyuarat harus membincangkan macam mana nak beri cadangan kepada kerajaan supaya rakyat yang menderita ini kita bantu dari segi masalah pendapatan, tempat tinggal, dan sebagainya.

“Harapan mereka tinggi kepada orang politik dan pemimpin politik untuk bantu, tapi jangan tangguh lama sangat, biar sehingga keadaan banjir reda.

“Kalau nak tangguh sampai dua atau tiga bulan tidak wajar, banjir pun semakin pulih, tapi kalau tangguh lama-lama itu meraban,” tambahnya.

Hujan lebat luar biasa selama sekurang-kurangnya tiga hari sejak 16 Disember menyebabkan beberapa negeri mengalami banjir, antaranya Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

Lembah Klang juga terjejas teruk, khususnya di Klang, Petaling, dan Hulu Langat.

Ketua Umno Hulu Langat Johan Abdul Aziz berkata banjir kali ini amat luar biasa dan menjejaskan banyak orang termasuk ahli-ahli Umno serta perwakilan ke perhimpunan.

“Macam mana nak fokus mesyuarat. Banjir ini bukan banjir biasa, banyak kerugian tahap maksimum… kereta hilang,” katanya.

Johan menjelaskan beberapa ketua cawangan Umno di bahagiannya sendiri turut terlibat banjir, misalnya di Dusun Tua, antara kawasan terjejas teruk dalam daerah Hulu Langat.

Namun beliau yakin usaha bantuan pasca banjir sekarang lebih lancar terutama dengan penyelarasan agensi pusat.

“Semua ini mungkin tidak memakan masa yang lama, mungkin sebulan dua,” katanya.

Minggu lalu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diberi tanggungjawab membahagikan kawasan terjejaskan banjir kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan untuk dijadikan kawasan angkat pemulihan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa petugas pengurusan pasca banjir, yang turut disertai ketua-ketua agensi dan jabatan kerajaan termasuk panglima angkatan tentera dan ketua polis negara.

Dalam pada itu, Ketua Umno Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz berpendapat penangguhan perhimpunan agung Umno pada masa ini wajar, bukan saja kerana isu banjir tetapi penularan varian baharu Covid-19, Omicron.

“Saya sokong penuh (penangguhan). Selepas banjir, kita tak tahu macam mana, ini baru bulan Disember, kita tak tahu banjir berapa lama… selalunya sampai bulan Februari.

“Kita kena tunggu dan lihat, Covid-19 varian Omicron pun kita tak tahu lagi kesannya.

“Memang ditangguhkan sebab banjir, saya rasa adil.

“Dalam keadaan menghadapi banjir dan Covid-19 ini elok tangguh sampai dua isu ini selesai,” katanya.

Sabtu lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan pucuk pimpinan Umno termasuk jawatankuasa pengurusan parti dan Majlis Kerja Tertinggi parti setuju untuk menangguhkan perhimpunan agung yang dijadual berlangsung pertengahan Januari.

Pada masa masa, beliau juga meminta pimpinan Umno di akar umbi supaya membantu mangsa banjir.

Perhimpunan Agung Umno bagi 2021, yang kini ditangguh, sepatutnya berlangsung pada 12 hingga 15 Januari ini. Ahmad bagaimanapun tidak menyebut tarikh baharu mesyuarat tahunan itu. – 1 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen