Umno tangguh perhimpunan agung susulan banjir, kata Ahmad Maslan


Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan bagaimanapun tidak menyebut tarikh baharu Perhimpunan Agung Umno 2021, yang sepatutnya berlangsung pada 12 hingga 15 Januari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember 2021.

UMNO menangguhkan perhimpunan agung tahunannya bagi 2021 yang dijadual berlangsung pertengahan Januari ini susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak minggu lalu, kata setiausaha agungnya Ahmad Maslan.

Penangguhan itu dipersetujui oleh pucuk pimpinan termasuk jawatankuasa pengurusan parti dan Majlis Kerja Tertinggi Umno, katanya.

“(Penangguhan) Ini disebabkan bencana banjir yang berlaku di banyak kawasan dan pimpinan UMNO akar umbi diminta membantu mangsa-mangsa banjir.

“Ada beberapa bahagian seperti Kota Raja dan Klang masih tidak dapat mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian kerana dilanda musibah banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua 191 bahagian Umno sepatutnya mengadakan mesyuarat serentak pada 18 Disember, hari yang sama banjir melanda terutamanya di beberapa daerah di Selangor.

Ahmad bagaimanapun tidak menyebut tarikh baharu Perhimpunan Agung Umno 2021, yang sepatutnya berlangsung pada 12 hingga 15 Januari ini.

Dalam pada itu, Ahmad merakamkan dukacita Umno terhadap rakyat yang terkesan akibat bencana dan ini.

Beliau berharap jentera Umno dan Barisan Nasional serta kerajaan negeri dan pusat terus membantu mereka.

Hujan lebat yang berterusan sejak 16 dan 17 Disember menyebabkan beberapa bahagian di Lembah Klang terutamanya Shah Alam, Klang dan Hulu Langat dilanda banjir teruk, dengan air di sesetengah tempat menenggelamkan bumbung rumah.

Banjir juga melanda beberapa negeri lain antaranya Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

Setakat ini sekurang-kurangnya 41 orang disahkan meninggal dunia sementara lapan lagi masih hilang. – 25 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen