Petugas kesihatan kontrak layak dapat cuti tibi, kusta dan kanser, kata KKM


DOKTOR kontrak, doktor gigi dan ahli farmasi layak mendapat cuti perubatan tugas khas dan cuti batuk kering, kusta serta kanser, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Mohd Shafiq Abdullah.

Mohd Shafiq memberi maklum balas terhadap satu dakwaan Hartal Doktor Kontrak di Twitter mengenai seorang petugas kesihatan kontrak yang kononnya diberitahu bahawa tiada apa-apa dalam hitam dan putih untuk menyatakan petugas kesihatan kontrak layak mendapat cuti berkenaan serta ia hanya dari mulut ke mulut.

Untuk rekod bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada Julai bahawa petugas kesihatan kontrak layak mendapat cuti tersebut.

Mohd Shafiq berkata Jabatan Perkhidmatan Awam bersetuju melanjutkan faedah untuk petugas kesihatan kontrak dan Kementerian Kesihatan dimaklumkan mengenainya pada 27 Disember.

“Selaras dengan itu satu pekeliling dikeluarkan kepada semua ketua jabatan di bawah Kementerian Kesihatan mengenai kelulusan dan pelaksanaan faedah cuti,” katanya.

Penjawat awam yang menghidap penyakit kusta dan kanser boleh mengambil cuti bergaji untuk tempoh tidak melebihi 24 bulan manakala mereka yang menghidap penyakit tibi pula layak mendapat cuti bergaji maksimum 12 bulan.

Menerusi hantaran di Twitter itu seorang petugas kesihatan yang identitinya tidak didedahkan berkata beliau didiagnosis dengan kanser payudara tiga kali ganda negatif tahap 2 sambil menambah dia diberitahu tidak berhak mendapat cuti tersebut.

Beliau menambah adalah mustahil untuk menanggung rawatan kanser, pemulihan serta cabaran emosi dan mental untuk kembali bangkit dalam masa 30 hari.

Oleh itu beliau meminta penjelasan mengenai perkara itu. – 30 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen