Cuti kecemasan penjawat awam, sektor swasta perlu ikut sama, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Keadaan sebuah rumah yang dinaiki air banjir di Kampung Bukit Dukung, Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Disember, 2021.

PENJAWAT awam yang terjejas akibat banjir akan diberi cuti kecemasan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Esok adalah hari Isnin, iaitu hari bekerja dan mereka perlu bekerja walaupun dipindahkan. Memandangkan kita memahami nasib mereka, kerajaan memutuskan untuk memberi cuti kecemasan kepada penjawat awam yang terjejas akibat bencana ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Klang hari ini.

Beliau berharap mangsa akan dapat meneruskan tugas mereka sebaik sahaja mereka menyelesaikan keadaan hidup mereka.

Beliau turut menggesa majikan di sektor swasta mempertimbangkan pemberian cuti kecemasan kepada pekerja yang terjejas akibat banjir.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat dua syarat yang perlu dipenuhi oleh majikan sektor swasta sekiranya mereka bersetuju memberi cuti kecemasan kepada pekerja mereka.

Ismail Sabri berkata, mereka mesti diberi cuti bergaji dan majikan tidak boleh memotong hari itu daripada baki cuti tahunan pekerja mereka.

Katanya, tiada undang-undang yang mewajibkan majikan memberi cuti kecemasan kepada pekerja mereka.

Beliau juga meminta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan untuk melibatkan diri dengan pemain industri mengenai perkara itu.

“Bagaimana mereka akan pergi bekerja jika mereka dipindahkan di pusat pemindahan banjir tanpa barang-barang dan ada yang berpindah bersama anak-anak mereka? Jadi tidak adil (meminta mereka bekerja),” katanya sambil meminta majikan di sektor swasta mempertimbangkan cuti kecemasan.

Mengenai tempoh cuti kecemasan yang diberikan kepada penjawat awam, beliau berkata itu adalah mengikut budi bicara ketua jabatan.

“Kami tidak menjangka mereka akan kembali bekerja sebaik pulang ke rumah. Mungkin mereka boleh diberi masa sehari dua untuk membersihkan rumah dan kita boleh minta mereka kembali bekerja selepas itu,” tambahnya. – 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen