Peniaga vape kecewa kedai diserbu walau garis panduan masih tak wujud


Mohd Farhan Darwis

Kementerian Kesihatan Malaysia masih belum mengeluarkan garis panduan penjualan rokok elektronik seperti dijanjikan sebelum ini. Serbuan dilakukan pihak berkuasa ke atas kedai vape mengecewakan peniaga dan persatuan yang menyifatkan ia tidak adil. – Gambar AFP, 3 Febuari, 2018.

LEBIH 120 kedai menjual rokok elektronik atau “vape” termasuk kilang memproses cecair perisa di seluruh negara diserbu oleh pihak berkuasa awal minggu ini, kata Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta).

Persatuan itu bagaimanapun mempersoalkan kewajaran tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu ketika pihak berkuasa belum lagi mengeluarkan garis panduan penjualan rokok elektronik seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Kita tidak menghalang pihak berkenaan untuk membuat atau menjalankan tugas tetapi garis panduan pun masih tidak keluar lagi untuk semua peniaga vape,” kata Presiden Mevta Rizani Zakaria kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjelaskan berdasarkan maklumat yang ada, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih dalam peringkat akhir merangka garis panduan penjualan vape dan rokok elektronik.

“Kita persatuan hanya minta penjelasan dan kerjasama daripada pihak farmasi KKM atas arahan siapa atau apakah agenda di sebalik semua ini,” tambahnya.

The Malaysian Insight berusaha menghubungi KKM tetapi sehingga ini masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Menurut Rizani, peniaga yang terlibat mengalami kerugian besar mencecah RM300,000, hampir menyamai kerugian yang dialami ketika serbuan pihak berkuasa pada 2015.

Sementara itu, Presiden Malaysian Organisation of Vape Entities (Move) Samsul Kamal Arifin turut kecewa dengan tindakan KKM kerana kata putus masih belum dicapai berhubung garis panduan berkenaan.

“Kami faham KKM hanya menjalankan tugas mereka tetapi kami dijanjikan tiada rampasan selagi garis panduan belum dikeluarkan.

“Tindakan seperti ini agak tidak adil, tanpa sebarang amaran mereka buat rampasan,” katanya.

Persatuan vape seluruh negara mahukan garis panduan yang lebih jelas serta prosedur operasi yang lebih telus seperti yang dikenakan ke atas industri komestik untuk industri rokok elektronik. – Gambar AFP, 3 Febuari, 2018.

Industri masih tunggu garis panduan

Peniaga yang dihubungi The Malaysian Insight sementara itu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan terbaharu ini kerana pihak berkuasa melanggar janji tidak akan ada lagi serbuan sebelum garis panduan jual beli vape dikeluarkan.

“Industri masih menunggu garis panduan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan KKM tetapi mereka sudah serbu sebelum garis panduan itu dikeluarkan.

“Kita mahukan keadilan bukannya penguatkuasaan seperti ini,” kata seorang peniaga vape di Shah Alam yang mahu dikenali Shahrom.

Menurut Shahrom, premisnya sudah dua kali diserbu pihak berkuasa termasuk yang pertama pada 2015. Ketika serbuan pertama hampir tiga tahun lalu itu, beliau rugi beratus ribu ringgit apabila cecair perisa miliknya dirampas kerana disyaki mengandungi nikotin.

Dalam serbuan kali ini, Shahrom hanya mengalami kerugian kira-kira RM4,000 apabila 200 botol perasa vape pelbagai perisa yang diimport dari luar negara dirampas KKM dalam serbuan pada petang Isnin lalu.

“Pasaran baru mula nak pulih, tetapi apabila kementerian serbu macam ini pengguna pun takut, jadi perniagaan pun susah nak berkembang macam dulu, pasaran pun akan runtuh,” katanya.

Shahrom mendakwa pegawai farmasi KKM dari Putrajaya dan Selangor menyerbu premisnya pada pukul 2.30 petang Isnin lalu.

“Kementerian tidak beri peluang langsung, setidak-tidaknya mereka boleh keluarkan notis amaran dan jika terdapat peniaga ingkar baru serbu.

“Kalau produk kosmetik yang ada racun kebiasaannya kementerian akan senaraikan dan peniaga perlu tarik dari pasaran, siapa yang ingkar baru kena tindakan, ini tidak, mereka terus serbu,” katanya.

Serbuan ke atas industri vape bermula apabila ada sebilangan cecair vape didapati mengandungi nikotin dan bahan terlarang seperti ganja menyebabkan pihak berkuasa bertindak. – Gambar AFP, 3 Febuari, 2018.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga vape di Petaling Jaya berkata pihaknya mengalami kerugian sekitar RM12,000 apabila 214 botol perasa vape import miliknya dirampas KKM awal minggu ini.

Bryan Mohamed berkata premisnya diserbu kira-kira pukul 1.30 petang dan perasa yang dirampas semuanya mengandungi nikotin.

“Cecair nikotin masih lagi belum ada apa-apa penguatkuasaan, kita sedang tunggu kata putus tentang apa langkah sepatutnya untuk cara kita berniaga.

“Dalam pertemuan KPDNKK katanya hanya akan keluarkan amaran dan tidak ada rampasan, agak terkejutlah apabila mereka datang dan rampas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Industri vape berkembang pesat pada pertengahan 2015 dengan premis perniagaan menjual peralatan dan cecair perisa vape ketika itu tumbuh seperti cendawan selepas hujan ekoran permintaan yang tinggi.

Ketika itu, cecair perisa vape dijual tidak terhad hanya di kaki lima sebaliknya peniaga turut beroperasi di pusat-pusat membeli belah terkemuka.

Namun begitu, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menjual cecair perisa vape yang mengandungi bahan terlarang seperti ganja sehingga pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan.

Pada Disember 2015, Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman berjaya mengesan sejumlah besar cecair vape yang mengandungi bahan terlarang untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Sehubungan itu, sesetengah negeri seperti Johor dan Kelantan turut mengambil tindakan mengharamkan penggunaan vape di negeri masing-masing.

Pihak persatuan yang mewakili peniaga dan pengusaha vape kemudiannya berusaha mencari jalan keluar dengan mengadakan perbincangan bersama kerajaan bagi mengawal selia aktiviti perniagaan tersebut untuk membolehkan mereka berniaga secara sah. – 3 Febuari, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen