Sebuah drama tentang ketaksamaan


Hadri Shah

OXFAM, sebuah organisasi internasional yang menumpukan kerja-kerja melawan kemiskinan global terbaru mengeluarkan sebuah laporan bertajuk “Richest 1 percent bagged 82 percent of wealth created last year - poorest half of humanity got nothing”.

Kata Winnie Byanyima, pengarah eksekutif Oxfam: “Ledakan pertambahan jutawan (2017) bukan menandakan ekonomi berkembang maju tetapi merupakan akibat sistem ekonomi yang gagal.”

“Kelas pekerja yang membuat pakaian kita, memasang telefon kita dan menanam makanan kita sedang dieksploitasi untuk memastikan bekalan barang murah, dan meningkatkan keuntungan korporat dan pelabur jutawan.”

Untuk pengetahuan umum, data Oxfam menyatakan 82% daripada jumlah kekayaan yang dijana tahun lepas (2017) mengalir kepada golongan 1% terkaya di dunia, sementara 3.7 bilion orang termiskin di dunia tidak menyaksikan peningkatan dalam kehidupan mereka.

Sepatutnya, pertambahan golongan jutawan pada tahun lepas membuka jalan kepada usaha membanteras kemiskinan global namun apa yang berlaku sebaliknya – kelas pekerja di dunia, melalui kerja harian mereka, membentuk kekayaan gergasi kelompok kecil elit.

Dalam laporan sama, Oxfam menyebut tentang seorang CEO dari salah satu daripada lima jenama fesyen global teratas mengambil masa hanya empat hari untuk menerima jumlah gaji yang diperoleh sepanjang umur bagi seorang pekerja fabrik pakaian.

Di Amerika Syarikat pula, seorang CEO mengambil masa selama sehari memperoleh jumlah pendapatan bagi seorang pekerja biasa untuk tempoh satu tahun. Tercatat juga kekayaan golongan jutawan telah meningkat dengan purata tahunan sebanyak 13% sejak 2010 – enam kali lebih cepat daripada upah pekerja biasa, yang meningkat dengan purata tahunan hanya 2%.

Meneliti laporan Oxfam ini menumbuhkan kebimbangan dan kegusaran yang meraksa akan ilustrasi sebenar keadaan ekonomi masyarakat dunia hari ini.

Namun sejujurnya, siapakah yang benar-benar menangisi krisis ketidaksamarataan ini?

Dua minggu lepas, aku menghantar emel kepada sebuah sekolah swasta/antarabangsa di Bandar Sri Damansara. Tujuannya untuk mendapatkan maklumat jumlah yuran dan kos kurikulum berkaitan kerana tahun hadapan anak aku bakal melangkah ke tahun satu.

Aku tak perlu menunggu lama, sekolah swasta/antarabangsa tersebut segera membalas emel. Terdapat dua lampiran disertakan menerangkan jumlah tahunan yuran persekolahan dan kurikulum yang ditawarkan kepada pelajar.

Untuk setengah tahun, bagi kurikulum berdasarkan silibus Kementerian Pelajaran, kos yuran berjumlah RM7,000. Bermakna, setahun yuran sekolah berjumlah RM14,000. Manakala bagi kurikulum berlandaskan silibus dari United Kingdom, yuran untuk setahun ialah RM16,000.

Yuran sekolah ini jauh lebih murah berbanding sekolah swasta/antarabangsa lain kerana ada yang mengenakan yuran persekolahan berjumlah RM30,000 setahun!

Walaupun “mewah”, masih ada golongan elit ibu bapa yang “lebih dari berkemampuan” menghantar anak mereka ke sekolah sejenis ini menganggap silibus di sekolah masih tidak mencukupi. Mereka perlu menambah kelas-kelas berkaitan bagi melengkapkan keperluan pendidikan anak mereka.

Kenyataan ini cukup mengganggu.

Sekiranya yuran tahunan sebanyak RM30,000 pun masih tidak melengkapi keperluan pendidikan anak mereka, bagaimana pula nasib anak yang bersekolah di sekolah biasa?

Apakah keperluan pendidikan mereka mencukupi?

Siapa golongan ini, tuan-tuan?

Mengapa mereka mampu menyekolahkan anak dengan yuran puluhan ribu setahun? Apakah keistimewaan sekolah swasta/antarabangsa?

Mengapa pula keistimewaannya tidak dapat dinikmati oleh semua anak-anak?

Mengapa pendidikan turut menerima nasib yang sama; diselaputi krisis ketaksamaan?

Dr Muhammad Khalid, dalam bukunya “The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia” pada halaman 161 mengatakan: “Di Malaysia, hanya 24% mempunyai pendidikan tinggi, berbanding Thailand (41%), Singapura (48%) dan South Korea (89%). Bagaimanapun, daripada 24% tenaga kerja dalam kategori tertiari, hanya 10% pemegang ijazah. Dalam erti kata lain, daripada 100 rakyat Malaysia dalam tenaga buruh, hanya 10 mempunyai ijazah sarjana muda.”

Pernyataan Dr Muhammed membuka sebuah persoalan besar: Berapakah gaji sebulan pekerja yang memiliki ijazah dan berapa pula yang diterima pekerja yang tidak melanjutkan pengajian di peringkat tinggi?

Data dari Laporan Tahunan Pelan Pendidikan Malaysia (2016) 79.3% murid sekolah rendah dan 95.5% murid sekolah menengah yang menghadapi risiko keciciran datang daripada keluarga berpendapatan rendah di bawah RM1,500 sebulan.

Jawapan bagi persoalan “mengapa sebahagian kecil ibu bapa mampu menghantar anaknya ke sekolah beryurankan puluhan ribu dan sebahagian besar lain tidak” faktor kesenjangan biaya upah setiap bulan yang diterima ibu bapa anak-anak.

Mereka yang mewakili peratusan besar seperti dalam Laporan Pendidikan tidak mempunyai pilihan dan peluang dalam menyediakan keperluan pendidikan yang lebih baik.

Tidak bermaksud merendah-rendahkan sekolah awam, namun keberadaan sekolah awam dan sekolah swasta/antarabangsa menzahirkan kesinambungan perbezaan kelas dan ketidaksamarataan.

Seandainya tujuan pendidikan untuk melahirkan manusia yang hidupnya bebas daripada perbezaan kasta dan menyelesaikan masalah masyarakat, mengapakah di awal permulaannya sudah berlangsung kesongsangan?

Kita tidak bercakap soal siapa mampu, siapa tidak; siapa rajin, siapa malas; siapa yang pandai mencari, siapa yang tidak, tetapi masalah besar kita hari ini ialah kegagalan menyediakan peluang untuk dikongsi dan dirayakan bersama. 

Bayangkan, peratusan yang disebut dalam Laporan Pendidikan mewakili pendapatan keluarga kurang dari RM1,500 sebulan mempunyai risiko keciciran dari sekolah, apakah sebenarnya peluang yang mereka ada?

Kekayaan boleh diwarisi, begitu juga dengan kemiskinan.

Anak-anak yang menghabiskan pengajian di sekolah swasta/antarabangsa mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran dan mendapat kerja yang bagus sedangkan anak-anak yang mempunyai risiko keciciran kerana faktor pendapatan keluarga, besar kemungkinan bakal mengulangi kitaran hidup yang sama.

Krisis ketidaksamarataan melibatkan pengagihan kekayaan, ekonomi sehingga mempengaruhi aturan sosial dan sistem pendidikan ternyata bersifat politik.

Namun, adakah kerajaan mahupun pimpinan politik dunia hari ini mempamerkan kesungguhan mereka dalam isu ketidaksamarataan?

Tahun ini Malaysia akan melalui fasa tertinggi praktis demokrasinya melalui pilihan raya umum. Mana satu parti politik yang menawarkan usaha membasmi kesenjangan ekonomi sosial yang mempengaruhi acuan sistem pendidikan?

Benarlah kata Byanima: “Sukar untuk mencari pemimpin politik atau syarikat besar yang mengatakan kebimbangan mereka terhadap ketaksamaan. Lebih sukar lagi mencari orang yang melakukan sesuatu mengenainya. Ramai yang secara aktif membuat keadaan lebih buruk dengan memotong cukai dan membatalkan hak buruh.” – 3 Februari, 2018.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen