Buat ujian kendiri sebelum sambut Krismas, Tahun Baru, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu perlu bagi membendung penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2021.

ORANG ramai disarankan supaya melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 sebelum melakukan aktiviti berkunjung semasa sambutan Krismas esok dan cuti Tahun Baru, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Langkah itu perlu bagi membendung penularan Covid-19, menurut ketua pengarah kesihatan di Twitter.

“Kepada mereka yg ingin keluar melawat isi rumah lain semasa Krismas atau cuti hujung tahun ini, diperingatkan untuk lakukan ujian RTK-Ag kendiri terdahulu. 

“Pastikan diri anda dan orang lain selamat semasa musim Krismas dan Tahun Baru,” tulisnya.

Menteri Kesihatan KHairy Jamaluddin minggu lepas berkata sambutan Tahun Baharu dan Krismas secara kecil-kecilan dan persendirian dibenarkan dengan syarat pengunjung perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 terlebih dahulu.

Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan 3,528 kes baharu Covid-19 setakat 12 tengah hari tadi. Angka harian melebihi 3,000 kes sejak empat hari lalu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam satu hantaran berasingan di Twitter berkata mangsa banjir yang ditempatkan di  pusat pemindahan sementara (PPS) akan diberi bantuan psikososial dan emosi.

Sesi bantuan sokongan itu katanya, dilaksanakan secara kolaborasi interagensi oleh para petugas & kaunselor Pusat kesihatan Daerah Sepang, Klinik Kesihatan Dengkil, Jabatan Kesihatan Masyarakat Daerah Sepang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan sukarelawan Universiti Sains Islam Malaysia.

“Mangsa bencana bukan sahaja mengalami kesan impak daripada kerosakan atau kehilangan harta benda, malah ada juga mangsa yang kehilangan ahli keluarga. Sekiranya emosi tidak dapat diurus dgn baik mereka beriko mengalami masalah kesihatan mental,” katanya.

Sehubungan itu, kata Dr Noor Hisham, semua petugas kesihatan di lapangan dan PPS diingatkan supaya sentiasa peka dan pantas mengenal pasti mangsa-mangsa banjir yang mempunyai tanda-tanda berkaitan trauma psikologikal dan lain-lain. – 24 Disember, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen