Sambutan tahun baharu besar-besaran tidak dibenarkan, kata Khairy 


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata hanya sambutan tahun baharu secara kecil-kecilan dan persendirian antara keluarga rapat dan rakan-rakan dibenarkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2021.

KERAJAAN tidak akan membenarkan sambutan tahun baharu secara besar-besaran selepas dua kes varian Omicron dikesan di negara ini dalam tempoh sebulan, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Bagaimanapun, menteri kesihatan berkata sambutan secara kecil-kecilan dan persendirian antara keluarga rapat dan rakan-rakan dibenarkan.

“Mereka yang hadir ke sambutan kecil dan persendirian untuk malam tahun baharu perlu menjalani ujian kendiri terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu Khairy mendedahkan kes baharu varian Omicron membabitkan seorang kanak-kanak perempuan Malaysia berusia lapan tahun yang pulang bersama ibu dan kakaknya dari Nigeria pada 5 Disember.

Kanak-kanak terbabit didapati positif pada 7 Disember.

Ini adalah kes kedua varian Omicron dengan kes pertama dikesan pada 3 Disember melibatkan pelajar warga Afrika Selatan berusia 19 tahun yang belajar di Ipoh, Perak yang memasuki negara ini melalui Singapura.

Pelajar itu memasuki Malaysia pada 19 November sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Omicron sebagai varian yang membimbangkan pada 24 November.

Khairy hari ini berkata Nigeria akan disenaraikan sebagai negara berisiko tinggi berikutan insiden terbaru itu.

Sebelum ini, Khairy berkata pelancong yang datang dari negara berisiko tinggi di pintu masuk antarabangsa KLIA akan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin. – 16 Disember, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen