Tiada siapa peduli amaran ramalan banjir, kata ahli Parlimen Klang


Mangsa banjir meletakkan anak mereka di dalam peti sejuk ketika meredah air bah di Taman Sri Muda, Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Disember, 2021.

DALAM tempoh 10 tahun akan datang, kebanyakan kawasan di Klang dan keseluruhan pantai Selangor diramalkan berada di bawah paras banjir tahunan, menurut laman web Climate Central.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata pihak yang bertanggungjawab dalam pembangunan tidak mahu mendengar rayuannya supaya persiapan dibuat bermula sekarang.

Katanya kepada The Malaysian Insight, beliau membangkitkan perkara itu kepada Jabatan Kerja Raya Selangor, Jabatan Perparitan dan Saliran negeri serta pihak berkuasa tempatan, berkenaan trend hujan dalam tempoh beberapa tahun terakhir ini, yang menunjukkan taburannya lebih tinggi berbanding biasa.

“Taburan hujan maksimum di Klang biasanya 100mm sehari. Sekarang, kita terima jumlah yang sama dalam masa tiga jam.

“Kami sudah nampak keadaan ini sejak dua tiga tahun lepas. Pada hujung Oktober, Klang menerima 173mm curahan hujan dan menyebabkan banjir di beberapa bahagian,” kata wakil rakyat DAP itu sejak 2008.

Unjuran 2030 Climate Central, adalah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan, menyediakan data perubahan cuaca bagi tujuan membuat dasar, menggunakan ramalan kenaikan paras laut dan model banjir pantai berdasarkan kepada data disiarkan.

Ia mengakui beberapa ralat margin kerana set data besar yang digunakan, dan menyatakan peta risiko banjir digunakan hanya sebagai “alat saringan” untuk mengenal pasti lokasi yang perlukan kajian lebih lanjut.

Menurut unjuran itu, pada 2030 sebahagian Klang akan tenggelam di bawah paras banjir tahunan sedia ada, dan ia termasuk kawasan yang teruk terjejas banjir pada hujung minggu lalu. Antara kawasan itu ialah  Telok Gong, Klang Utama, Pandamaran, Pelabuhan Klang dan Taman Sentosa.

Unjuran itu turut memasukkan satu lagi kawasan teruk dilanda banjir iaitu Taman Sri Muda di Shah Alam, selain beberapa lokasi lain di utara Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur, termasuk Mitsui Outlet Park di Sepang.

Peta menunjukkan kawasan pantai Selangor yang terdedah kepada banjir dalam tempoh 10 tahun akan datang. – Gambar Climate Change, 21 Disember, 2021.

Kawasan pantai di selatan iaitu Port Dickson di Negeri Sembilan, hingga ke utara sepanjang pantai di Selangor iaitu Bagan Lalang, Tanjung Sepat, Morib, pulau seperti Pulau Carey dan Pulau Ketam, menghala ke Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekinchan dan Sungai Besar di utara Selangor, turut termasuk dalam patas banjir tahunan semasa.

Di Perak, unjuran 2030 menunjukkan banjir bakal melanda sehingga Teluk Intan, yang terletak sejajar dengan Sungai Perak. Kawasan perladangan Felda di kawasan itu juga akan terjejas, menurut model banjir itu.

Santiago berkata beliau membangkitkan masalah curahan hujan yang lebih tinggi kepada JKR di Parlimen beberapa kali.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih serius terhadap corak cuaca yang disebabkan oleh perubahan iklim, di mana saintis berkata ia semakin pesat dan menyebabkan cuaca ekstrem.

“Untuk bersedia, bermaknan kita perlu fikirkan semula sistem perparitan dan saliran. Kajian boleh tunjukkan apa yang kita perlukan untuk buat persiapan berdepan dengan keadaan tidak dijangka.

“Kita perlu fikir semula projek pembangunan yang dirancang. Kerajaan negeri Selangor perlu pertimbangkan semula pelan yang membabitkan hutan paya di Klang, seperti Telok Gong, kerana paya bakau penting untuk melindungi pantai. Pembangunan seumpama ini perlu dihentikan,” kata Santiago. – 21 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen