Mesej kecemasan meningkat, mangsa banjir terdesak perlu bantuan


Ragananthini Vethasalam

Pemandangan dari udara jalan Lebuhraya Persekutuan dari Kuala Lumpur ke Klang tersekat kerana banjir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Disember, 2021.

MANGSA banjir dan orang ramai menggunakan media sosial sejak 24 jam lalu untuk meminta pertolongan kerana ada yang masih terperangkap di rumah yang ditenggelami air banjir ketika menunggu untuk diselamatkan.

Tanda pagar #DaruratBanjir dan #bantubanjir menjadi trending di Twitter.

“Ada bayi di dalam rumah, rumah itu semakin tenggelam,” adalah antara mesej kecemasan yang dihantar oleh pengguna media sosial sambil menangis meminta bantuan segera.

Berkongsi gambar rumah yang ditenggelami air di Karak, Pahang, @kamarul14 meminta bantuan segera kerana paras air sudah mencecah bumbung.

“Askar tolong datang ke rumah ini,” ciapnya di Twitter sambil berkongsi alamat di Idaman Lakeview Jaya di Karak.

Sri Muda di Shah Alam, Selangor antara kawasan kejiranan yang paling teruk terjejas.

Lapan jam sudah berlalu kata @aishuganesan298 yang masih menunggu bantuan kerana tingkat bawah rumahnya tenggelam sepenuhnya.

“Kemas kini - 10.45 pagi. Kami melihat bot datang tetapi belum ada usaha menyelamat. Mereka memaklumkan kepada kami lebih banyak bot akan masuk. Kami sedang menunggu,” ciapnya.

Pada pukul 12.30 tengah hari, dia menyatakan masih menunggu bantuan.

“Kemas kini 12.30 tengahari. Kami masih menunggu untuk diselamatkan. Sekurang-kurangnya hantar makanan atau air ketika ini.

“Saya mempunyai kawan dengan bot kayak/nelayan di luar Sri Muda untuk membantu kami berpindah,” katanya sambil menambah hanya Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam dibenarkan masuk.

Ada yang berkata bantuan masih belum tiba selepas beberapa jam dan mangsa termasuk warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak. Banjir juga menyebabkan bekalan makanan dan elektrik terputus.

Bot diperlukan untuk mengakses kawasan kejiranan kerana paras air mencecah tingkat kedua rumah dua tingkat.

“Sangat mendesak!!! Taman Sri Muda Seksyen 25/103 memerlukan bantuan. Air naik dengan cepat & tingkat 1 tidak boleh diakses sama sekali. Ramai penduduk termasuk sepupu saya terperangkap di tingkat 2 tanpa sebarang makanan/elektrik sejak hari itu. Sila kemas kini jika mana-mana perkhidmatan menyelamat boleh dihubungi,” ciap p0tat0baby0303.

@subawarran memberitahu air sudah mencapai paras leher di Sri Muda.

“Air di Sri Muda Shah Alam paras leher tolong hantar bot, ada keluarga ada anak, mengandung, warga emas. Sila kongsi dengan pihak berkuasa yang berkenaan. Talian telefon/sambungan Internet amat teruk. Tiada bantuan dari semalam, tiada makanan, tiada elektrik, air paras leher,” katanya.

Naib presiden Muda Dr Thanussha Francis Xavier dalam pada itu meminta bot laju yang boleh digunakan untuk memindah mangsa.

“Wahai semua, kami sedang mencari bot laju supaya kami dapat sampai ke kawasan Sri Muda yang dilanda teruk. Ramai yang perlu diselamatkan kerana terkandas di atas bumbung ketika paras air semakin meningkat.

“Jika anda boleh membantu dengan kontak yang boleh menyediakan bot laju, sila maklumkan di sini,” ciapnya.

Taman Sri Muda adalah topik paling trending di Twitter ketika ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata malam tadi, lebih 11,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam apa yang disenaraikan antara banjir terburuk dalam sejarah. – 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen