Banjir terburuk dalam sejarah negara, lebih 11,000 mangsa terjejas


Ragananthini Vethasalam

Lebih 11,000 mangsa terjejas kerana banjir yang dianggap terburuk dalam sejarah negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 Disember, 2021.

LEBIH 11,000 mangsa daripada 4,500 keluarga terjejas dalam banjir besar yang dianggap terburuk dalam sejarah negara, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, menambah yang keutamaan sekarang adalah memindahkan mangsa yang masih terperangkap.

Setakat jam 11 malam semalam, 188 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diwujudkan di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Sejumlah 5,731 PPS disediakan di seluruh negara yang boleh menempatkan sehingga 1,628,512 mangsa,” katanya pada sidang media malam tadi.

Di Selangor, sebanyak 45 PPS telah diwujudkan.

Kesemua pusat itu sekarang menempatkan 3,826 mangsa daripada 2,551 buah keluarga.

Ismail berkata walaupun negeri di Pantai Timur lebih bersedia untuk berdepan bencana banjir yang biasa berlaku pada musim tengkujuh, Selangor berdepan cabaran kerana kejadian banjir kilat.

“Saya telah bercakap dengan jeneral tentera untuk menggerakkan lebih ramai anggota dan aset tentera malam ini bagi membantu proses pemindahan disebabkan tahap air semakin naik dan ramai masih terperangkap dalam rumah mereka,” katanya.

Tambahnya, beliau juga telah menghubungi ketua polis negara untuk menggerakan anggota polis bagi membantu proses pemindahan terutama di Selangor.

Ahli Parlimen Bera itu juga berkata yang selain catatan awam, beliau juga menerima permintaan bantuan menerusi media sosial.

“Ada yang sakit dan terperangkap. Kami akan cuba buat yang terbaik bagi memindahkan mereka yang masih terperangkap malam ini supaya mereka boleh berpindah ke PPS serta merta,” katanya.

“Saya difahamkan ada yang terperangkap dalam bas selama lapan jam. Saya sudah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menuju ke tempat kejadian dan membantu mereka serta merta,” katanya.

Tambahnya, keutamaan sekarang adalah untuk menyelamatkan nyawa dan kerajaan akan meneliti bentuk bantuan lain seperti bantuan kewangan kemudian.

Pihak berkuasa juga masih mengumpul maklumat mangsa yang masih terperangkap.

Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Kawalan Bencana Negara di talian 03-80642400.

Menyentuh soal bekalan makanan untuk mangsa terjejas, katanya perkara itu akan diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan.

“Untuk mangsa banjir, jangan bimbang kami akan pastikan semua usaha menyelamat dilakukan. Berhati-hati ketika banjir, dan jika boleh duduk di kawasan yang selamat,” tambah Ismail lagi.

Sejumlah 66,015 anggota keselamatan pelbagai agensi seperti polis, tentera, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pejabat daerah, majlis perbandaran tempatan dan Jabatan Kerja Raya turut digerakkan untuk misi menyelamat dan bantuan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah menyediakan 521 pusat di seluruh negara untuk mengedarkan barangan keperluan kepada mangsa terjejas. 500 ahli Skuad Keluarga Malaysia juga dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di PPS.

Daripada aspek pengangkutan pula, lebih 450 kenderaan pelbagai agensi sudah digerakkan dalam misi menyelamat dan bantuan di seluruh negara. – 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen