Perkasa TVET, tingkat kemahiran graduan, kata penyelidik


Aminah Farid

TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan yang memberi penekanan terhadap amalan industri, untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. – Gambar AFP, 24 Disember, 2021.

KUALITI tenaga pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dipertingkat untuk melahirkan lebih ramai graduan yang terlatih dan berkemahiran tinggi, kata seorang penyelidik.

Sofea Azahar dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia berkata langkah ini sekali gus akan mengurangkan kadar pengangguran dalam industri yang memerlukan kemahiran.

Kelemahan kualiti pengajaran TVET katanya disebabkan oleh syarat pengambilan tenaga pengajar yang kurang menekankan pengalaman dalam industri, serta penguasaan Bahasa Inggeris dan  teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lemah.

“Prestasi dan kebolehpasaran graduan TVET mencerminkan kualiti pengajaran bidang berkenaan.

“Oleh sebab itu, tenaga pengajar TVET mesti lengkap dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk diajar kepada pelajar,” kata penulis kajian bertajuk “Preparing the Future Workforce for Post-Pandemic Recovery” itu kepada The Malaysian Insight.

TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan yang memberi penekanan terhadap amalan industri. Ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. 

Skop TVET perlu berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.

Penyelidik ISIS Sofea Azahar berkata kualaiti tenaga pengajar TVET perlu dipertingkat untuk melahirkan lebih ramai graduan yang terlatih dan berkemahiran tinggi. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Disember, 2021.

Menurut Sofea, kajian mendapati kecekapan tenaga pengajar merupakan salah satu cabaran dalam program TVET di Malaysia, sebahagiannya kerana syarat pengambilan tenaga pengajar yang terjejas akibat isu operasi seperti kekurangan kakitangan.

Ini menyebabkan pengambilan tenaga pengajar semata-mata berdasarkan pencapaian akademik tanpa menitikberatkan pengalaman dalam industri, yang sepatutnya jadi keutamaan, kerana kurikulum Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan terbahagi kepada 70% pengajaran berasaskan kemahiran, manakala 30% tertumpu kepada teori.

Faktor lain termasuklah kesukaran pengajar menghadiri program pembangunan profesional kerana kurang peruntukan, sistem penggiliran dan beban kerja.

“Malah, pandemik Covid-19 turut mendedahkan jurang kecekapan dalam kalangan tenaga pengajar kerana ada antara mereka yang kurang pengetahuan dan kemahiran digital untuk menyepadukan ICT/ pembelajaran jarak jauh ke dalam keas TVET,” jelasnya.

Atas sebab-sebab inilah pentingnya kecekapan dan kualiti pengajar perlu dipertingkatkan, tegasnya.

Mengulas lanjut, Sofea berkata ia boleh dilakukan dengan mewajibkan semua tenaga pengajar mempunyai pengalaman dalam industri.

“Tenaga pengajar juga mesti meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan ICT mereka. Prestasi mereka juga boleh dipantau dan dinilai menggunakan Sistem eProfiling,” katanya.

Persepsi masyarakat

Menurut Sofea masyarakat sering menganggap TVET pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang dalam pelajaran.

Kurangnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar mengenai peluang kerjaya graduan TVET antara salah satu punca persepsi negatif ini, katanya.

“Persepsi inilah yang menyebabkan bidang vokasional sering jadi pilihan kedua atau terakhir, selain TVET kurang diiktiraf, graduan berasa rendah diri, dan kadar pengambilan pelajar yang rendah,” ujar Sofea.

Oleh itu, katanya, salah satu cara untuk membuang persepsi ini adalah dengan meningkatkan kesedaran tentang pendidikan TVET. Ini termasuklah mendidik belia tentang potensi bidang ini menerusi kaunseling dan bimbingan kerjaya. – 24 Disember, 2021.   

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen