Sidang Dewan Rakyat dilanjut hingga Isnin


Chan Kok Leong

Pengumuman lanjutan sidang Dewan Rakyat kepada Isnin itu dibuat Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun pada sesi petang selepas Parlimen meluluskan pindaan kepada Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2021.

PUTRAJAYA melanjutkan persidangan Dewan Rakyat kepada Isnin supaya kerajaan dapat mengkaji semula pindaan kontroversi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Pengumuman itu dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun pada sesi petang selepas Parlimen meluluskan pindaan kepada Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus.

Penangguhan itu bagi membolehkan Dewan Rakyat membincangkan cadangan pindaan itu selepas pembangkang mengumumkan ia tidak akan menyokong usaha kerajaan untuk menaikkan denda dan kompaun dalam Akta 342.

Sidang Dewan Rakyat pada mulanya dijadualkan berakhir hari ini.

“Perdana menteri telah bersetuju untuk melanjutkan sidang Dewan Rakyat sehari lagi selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) untuk membolehkan Akta 342 dibahaskan,” kata Azhar kepada Parlimen.

“Notis rasmi akan diberikan kepada semua ahli Parlimen selepas ini,” tambahnya.

Pengumumannya itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada beberapa ahli Parlimen seperti Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena), Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang berhujah notis yang lewat tidak adil buat mereka.

“Kami Ahli Parlimen dah atur program pergerakan peribadi kami, program di kawasan Parlimen untuk bertemu rakyat, tiba-tiba berlaku sebegini, ini satu perkara yang saya kesal. apa salahnya kalau tangguh, dibawa rang undang-undang ini ke sidang akan datang?” kata Mahfuz.

Ma’mun menambah ini juga akan menjejaskan ahli Parlimen Borneo yang telah menempah penerbangan pulang ke Sabah dan Sarawak.

Namun Azhar tidak menerima hujah mereka, berkata pelanjutan itu selaras dengan prerogatif perdana menteri.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan itu dicapai selepas pertemuan dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Ketua Pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan pemimpin pembangkang.

Beliau berkata ini bagi membolehkan lebih banyak perbincangan diadakan antara kerajaan dan pembangkang.

“Ini supaya jawatankuasa (pemilih) atau ‘select committee’ dapat bersidang sebelum dikemukakan beberapa cadangan pindaan yang lain,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Beliau berkata pindaan itu perlu lebih jelas.

“Ini disebabkan pandangan kita tentang beberapa peruntukan harus dipinda secara total (menyeluruh) terutama melibatkan kompaun yang tinggi. Oleh itu, kami bersetuju untuk benarkan jawatankuasa pemilih bermesyuarat pada 8 pagi (Isnin) sebelum Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi.

“Saya mahu berbincang dan menjelaskan yang pelanjutan ini bukan diputuskan oleh satu pihak sahaja.”

Awal hari ini, kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan perbahasan beberapa rang undang-undang baharu dan rang undang-undang pindaan bagi membolehkannya meluluskan pindaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Antara pindaan rang undang-undang itu menaikkan denda maksimum dan kompaun untuk individu dan syarikat kepada RM20,000 dan RM500,000.

Pindaan kontroversi itu, bagaimanapun, telah menimbulkan kemarahan rakyat kerana ramai yang mengadu bahawa denda itu terlampau tinggi ketika keraguan masih tinggi mengenai keupayaan kerajaan untuk berlaku adil kepada semua.

Keyakinan orang ramai terhadap penguatkuasaan prosedur operasi standard di negara ini kekal rendah selepas ahli politik kerajaan dikenakan denda yang lebih rendah berbanding yang lain. – 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen