Inisiatif Belanjawan 2022 langkah baik tangani kemiskinan haid, kata NGO


Aminah Farid

Kerajaan menerusi Belanjawan 2022 umum agihan bantuan kit kebersihan kendiri percuma setiap bulan kepada 130,000 remaja perempuan daripada keluarga B40 bagi menangani isu kemiskinan haid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2021.

INISIATIF Putrajaya menerusi Belanjawan 2022 untuk memberi kit asas kebersihan diri secara percuma setiap bulan kepada kira-kira 130,000 wanita muda daripada isi rumah kategori B40 adalah permulaan yang baik dalam menangani isu kemiskinan haid, kata kumpulan hak asasi manusia.

Kumpulan itu memuji tindakan kerajaan menyedari betapa seriusnya kemiskinan haid dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

Sukarelawan dari Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia Aminah Rawther memberitahu The Malaysian Insight inisiatif itu adalah langkah positif untuk menangani isu itu.

“Namun, kerajaan perlu komited untuk mengiktiraf isu ini dan akses kepada produk kebersihan haid adalah hak asasi manusia kepada individu yang haid, termasuk banduan wanita, dan bukannya menjadikan ia sekadar projek agihan bantuan,” katanya.

Beliau berkata perlu ada akauntabiliti lebih besar dan ketelusan dalam semua aspek dalam inisiatif agihan bantuan ini.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Jabatan Penjara akan mengagihkan kit kebersihan kendiri secara percuma setiap bulan kepada 130,000 remaja perempuan daripada keluarga B40 menerusi Belanjawan 2022.

Aminah berkata kerajaan perlu menangani di mana dan bagaimana ia menerima data itu dan memandangkan banduan wanita yang akan menghasilkan pad berkenaan, mereka perlu diberi pampasan bersesuaian dengan tenaga dikeluarkan.

Sementara itu, Persatuan Tindakan Wanita turut memuji inisiatif itu.

Jurucakapnya berkata ini kali pertama belanjawan negara memperuntukkan dana bagi tujuan membantu menangani masalah ini.

“Kami harap inisiatif ini akan menjadi langkah pertama kepada campur tangan jangka panjang dalam menangani dan mencegah kemiskinan haid.

“Ia patut tahu akses percuma ini hanya dapat membantu masalah ini secara sementara dan perlu tahu kesan pengurusan haid yang tidak sempurna dalam kalangan wanita muda boleh menjejaskan kehidupan, seperti tidak hadir sekolah atau kerja, menurunkan produktiviti dan mengganggu kesejahteraan mental,” katanya.

Beliau berkata Putrajaya perlu memastikan pelaksanaan inisiatif itu dilakukan secara berkesan, dan ia termasuk memastikan masyarakat sasaran menerima kit berkenaan dengan jumlah produk sanitasi yang mencukupi, dan objektifnya tercapai dalam rangka waktu dikhususkan.

“Pada masa ini tidak ada statistik rasmi berkenaan kemiskinan haid. Jika kekurangan data ini  berterusan, usaha kerajaan ini akan menjadi sangat mencabar untuk mengenal pasti mereka yang berisiko,” katanya. – 15 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen