Lebih baik bangunkan Tubir Selatan daripada hidupkan semula projek HSR, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia harus menumpukan pada pembangunan Tubir Selatan Pulau Batu Puteh dan bukannya cuba memulihkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dengan Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2021.

MALAYSIA harus menumpukan pada pembangunan Tubir Selatan Pulau Batu Puteh dan bukannya cuba memulihkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dengan Singapura, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Tubir Selatan perlu dibangunkan untuk mengisytiharkan kedaulatan Malaysia ke atas pulau kecil berkenaan susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dan Batuan Tengah kepada Malaysia.

Mengenai Tubir Selatan, ICJ berkata kedaulatan ke atasnya adalah kepunyaan negara di mana perairan wilayahnya terletak.

Dr Mahathir dalam satu kenyataan hari ini berkata Malaysia sudah diberikan kedaulatan ke atas Tubir Selatan.

“Daripada menghidupkan semula HSR yang boleh dilengkapkan dengan projek landasan berkembar (Gemas), kita sebaliknya perlu menumpukan pada pembangunan Tubir Selatan Pulau Batu Puteh,” kata ahli Parlimen Langkawi dan bekas perdana menteri itu dalam satu kenyataan.

“Saya mencadangkan agar Tubir Selatan ditebus dan diperluaskan serta sebuah pangkalan marin dibina.

“Walaupun kita bercita-cita untuk menjadi jiran yang baik, untuk menjadi mesra, kita tidak boleh mengorbankan integriti wilayah kita lebih-lebih lagi kedaulatan kita. Ia mengenai keutamaan,” katanya yang pertama kali berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Dr Mahathir berkata beliau terkejut apabila Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan dua minggu lalu bahawa Malaysia mencadangkan untuk menghidupkan semula perbincangan mengenai HSR.

“Saya terkejut. Pada Januari tahun ini kerajaan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menamatkan perjanjian itu.

“Pampasan RM320 juta yang terlalu tinggi perlu dibayar kepada Singapura. Ismail Sabri Yaakob adalah sebahagian daripada kerajaan itu.

“Dan sekarang beliau menjadi perdana menteri, beliau bercadang untuk membangkitkan semula sesuatu yang beliau sudah tamatkan,” katanya. – 13 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen