Skandal forex lebih malukan negara, kata Najib


Ragananthini Vethasalam

Najib Razak berkata beliau sentiasa mempromosikan kepentingan negara semasa menjadi perdana menteri yang menyaksikan aset negara berkembang daripada RM800 juta kepada RM2 trilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2021.

KECEWA dengan kenyataan “memalukan negara” oleh Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil berhubung kes SRC International Sdn Bhd, Najib Razak hari ini berkata skandal pertukaran asing (forex) yang dikaitkan dengan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad “jauh lebih memalukan negara.”

Dalam sidang media hari ini, Najib berkata beliau sangat kecewa dengan kenyataan Abdul Karim, menambah beliau sentiasa mempromosikan kepentingan negara semasa menjadi perdana menteri yang menyaksikan aset negara berkembang daripada RM800 juta kepada RM2 trilion.

Beliau berkata demikian menjawab pembacaan penghakiman Abdul Karim pagi tadi yang berkata apa yang Najib lakukan berkait dengan pemindahan RM42 juta ke akaun peribadinya “bukanlah untuk kepentingan negara tetapi memalukan negara.”

“Saya mencipta banyak kekayaan untuk negara. Itu hanya satu contoh,” kata Najib.

“Jika bercakap tentang memalukan negara, ada insiden atau skandal lain. Contohnya skandal yang menyelubungi forex yang menyebabkan kerugian RM31 bilion.

“Jika anda letakkannya dalam konteks, bukankah itu jauh lebih memalukan negara. Saya cuma letaknya dalam perspektif yang betul.”

Beliau merujuk kepada skandal kerugian tukaran mata wang asing berbilion dolar Bank Negara Malaysia (BNM) yang berlaku antara 1987 dan 1992 ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai skandal itu telah dilancarkan pada 2017.

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau diberitahu kerugian itu berjumlah RM10 bilion. Beliau juga menafikan tahu mengenai urusan BNM, berkata beliau hanya tahu apa yang dilaporkan kepada Parlimen.

Tambah Najib kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk tidak meneruskan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dimulakan di bawah pentadbirannya dan mengklasifikasikannya sebagai Tiada Tindakan Lanjut.

“Kerugian RM31 bilion diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut,” katanya.

Sementara itu, peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah berkata kenyataan itu tidak perlu.

“Dalam proses rayuan kami ke Mahkamah Persekutuan dan dengan menganggap Mahkamah Persekutuan melihat pandangan kami, kenyataan itu boleh ditolak kerana ia tidak perlu kepada penghakiman Mahkamah Rayuan,” katanya.

Peguam Najib telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bersama-sama dengan usul untuk penangguhan pelaksanaan hukuman. – 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen