Orang kaya makin kaya waktu pandemik, kata laporan


Ketika golongan kaya dunia menikmati peningkatan kekayaan mereka ketika pandemik Covid-19, lebih 100 juta rakyat dunia pula menjadi miskin tegar, menurut World Inequality Report. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

KEKAYAAN orang paling kaya di dunia terus melonjak tinggi memecah rekod ketika pandemik Covid-19, menurut World Inequality Report pada Selasa.

Sejak 1995, kekayaan yang dipegang oleh bilionair telah meningkat daripada satu peratus kepada tiga peratus, menurut laporan tersebut.

“Peningkatan ini lebih ketara semasa pandemik Covid. Malah, tahun 2020 menandakan peningkatan paling ketara saham kekayaan bilionair global,” kata dokumen itu.

Kumpulan satu peratus terkaya dunia telah mengambil lebih satu pertiga daripada semua kekayaan tambahan terkumpul sejak 1995, manakala 50 peratus terbawah hanya meraih dua peratus.

“Selepas lebih 18 bulan Covid-19, jurang kaya-miskin dunia menjadi lebih ketara,” kata pengarah bersama World Inequality Lab di Sekolah Ekonomi Paris, Lucas Chancel kepada AFP.

“Walaupun kekayaan bilionair meningkat lebih daripada 3.6 trilion euro (AS$4 trilion), 100 juta lagi orang jadi miskin tegar,” kata Chancel, sambil menyatakan kemiskinan tegar sebelum ini jatuh sejak 25 tahun.

Kedudukan terkini oleh majalah Forbes menunjukkan 10 orang terkaya masing-masing mempunyai nilai bersih melebihi AS$100 bilion, dengan bos Tesla Elon Musk paling atas dengan AS$264.5 bilion.

Hanya seorang daripada lelaki itu bukan warga Amerika iaitu ketua kumpulan mewah LVMH Bernard Arnault, malah kesemuanya kecuali dua orang adalah peneraju industri teknologi yang kekayaan mereka telah melambung tinggi.

Laporan setebal 228 muka surat itu, yang penyumbangnya termasuk ahli ekonomi Perancis Thomas Piketty, menyeru “cukai kekayaan progresif yang sederhana ke atas bilionair global” untuk mengagihkan semula kekayaan, bersama-sama dengan langkah-langkah untuk mencegah pengelakan cukai.

“Memandangkan jumlah penumpuan kekayaan yang besar, cukai progresif yang sederhana boleh menjana pendapatan yang besar untuk kerajaan,” kata laporan itu. – AFP, 7 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen