CANSELOR Jerman Angela Merkel mengungguli ranking tahunan Forbes sebagai wanita paling berkuasa di dunia selama sembilan tahun berturut-turut, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Majalah yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu setiap tahun menyiarkan senarai 100 wanita paling berkuasa di dunia.
Pemimpin Jerman itu diikuti rapat oleh Ketua Bank Pusat Eropah Christine Lagarde, Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi dan presiden baharu Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.
Guler Sabanci dari Turki, yang merupakan wanita pertama dalam keluarganya menguruskan perniagaan keluarga Sabanci Holding, berada di kedudukan ke-73.
Ratu Elizabeth II berada di kedudukan ke-40 manakala Ivanka Trump, anak perempuan dan penasihat Presiden AS Donald Trump, menduduki tempat ke-42.
Aktivis iklim berusia 16 tahun Greta Thunberg telah disenarai sebagai wanita ke-100 paling berkuasa pada 2019.
Beliau juga dipilih sebagai Individu Terbaik (Person of the Year) oleh majalah berita Time. – Bernama, 13 Disember, 2019.
Komen