Tasik Kenyir meriah semula tapi pengusaha belum pulih


Diyana Ibrahim

Majoriti pengusaha bot masih dibebani hutang dan perlu keluarkan kos selenggara besar sebelum mula operasi semula. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Disember, 2021.

INDUSTRI pelancongan di Tasik Kenyir yang hampir lumpuh kini kembali rancak dengan peningkatan tiga kali ganda kemasukan pelancong berbanding sebelum pandemik, kata pengusaha.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, pengunjung kini memilih Tasik Kenyir ekoran penutupan pulau peranginan utama Terengganu musim tengkujuh.

Seorang pengusaha rumah bot, Ilham Azmi berkata Tasik Kenyir sememangnya menjadi tumpuan pelancong ketika musim tengkujuh terutama bagi golongan kaki pancing.

“Kalau dulu biasa pelanggan yang akan pilih tarikh tempahan, tapi sekarang mereka terpaksa ikut tarikh kita, kira keadaan terbaliklah. Ini menunjukkan permintaan yang sangat tinggi,” katanya.

“Macam tempahan rumah bot saya sudah penuh hingga Februari tahun depan. Saya jangkakan kemasukan pelancong tiga kali ganda berbanding sebelum covid-19,” katanya.

Beliau yang mengusahakan perniagaan rumah bot di Tasik Kenyir sejak empat tahun menyaksikan peralihan pengunjung berkenaan sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan pada September.

Ia jauh berbeza dengan keadaan pada sewaktu sekatan melalui Perintah Kawalan Pergerakan dan seterusnya bawah Pelan Pemulihan Negara.

Dalam tempoh tersebut, mereka bercakap The Malaysian Insight dengan penuh gusar apabila tasik yang pernah menerima kehadiran lebih 800,000 pelancong setahun itu sunyi sepi.

Kelumpuhan pelancongan tersebut seterusnya memberi kesan langsung kepada penduduk setempat yang bergantung sumber pendapatan daripada tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu.

Pada November, exco hal ehwal pelancongan Ariffin Deraman mendedahkan pengusaha pelancongan di situ kerugian melebihi RM1 juta ekoran ekoran kawalan PKP.

Pengusaha pelancongan mohon kerajaan menambah baik infrastruktur di Tasik Kenyir seperti pembinaan jeti penumpang kedua susulan peningkatan jumlah pelancong. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Disember, 2021.

Mengulas mengenai kejadian air surut yang dilaporkan berlaku di Tasik Kenyir ketika ini pula, beliau memberitahu The Malaysian Insight, ia tidak menjejaskan operasi pelancongan.

Jelasnya setiap tahun Tasik Kenyir akan melalui fenomena air surut kerana proses pelepasan air ke Sungai Terengganu untuk tadahan baharu.

“Memang setiap tahun akan berlaku. Cuma kali ini mungkin air tasik paling ketara surut. Tapi ia tidak jejaskan operasi pelancongan kita,” katanya.

Peningkatan pelancong itu seterusnya menimbulkan permintaan baharu agar kerajaan menambah baik infrastruktur di Tasik Kenyir seperti pembinaan jeti penumpang kedua, katanya.

Pengusaha bot, Ilham berkata ketika ini jeti utama di Pengkalan Gawi tidak dapat menampung pertambahan jumlah pelancong di Tasik Kenyir.

“Ia menyebabkan keadaan sana (Pengkalan Gawi) sesak dengan lalu lintasnya, tempat letak kereta yang tidak mencukupi.

“Jadi untuk elak kesesakan memang perlu satu lagi jeti penumpang. Kita dah bangkitkan perkara ini lama dah,” katanya.

Seorang lagi pengusaha, Sulong Mustafa pula berkata permintaan luar jangka itu bagi memastikan keselamatan pelancong tanpa perlu bimbang dengan risiko penyebaran Covid-19.

“Nampak paling naik mendadak (pelancong) semasa Oktober sampai kita tidak menang tangan. Bila pulau ditutup jadi bonus untuk kita sebab pelancong akan beralih untuk bercuti di Tasik Kenyir.

“Sebab dulu kalau musim tengkujuh kaki pancing yang akan memenuhi Tasik Kenyir tapi sekarang ia turut menjadi pilihan pelancong yang berkeluarga,” kata Sulong, 50.

Beliau yang mengusahakan rumah bot sejak 2010 itu menjangka perkembangan itu mungkin dapat menampung kerugian dialami sejak lima bulan sekiranya jumlah kemasukan pelancong konsisten.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir Zailani Endut pula tidak yakin kerancakan waktu ini dapat memulihkan sepenuhnya perniagaan pengusaha bot yang terjejas kerana pandemik.

Katanya, majoriti pengusaha bot masih dibebani pinjaman perniagaan dan perlu mengeluarkan kos penyelenggaraan sehingga RM10,000 sebelum mula beroperasi semula pada September lepas.

“Sebab itu saya jangka mungkin dalam sebulan dua lagi untuk pengusaha dapat tampung kerugian sebelum ini,” katanya.– 5 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen