FILIPINA telah menangguhkan sementara keputusan untuk membenarkan kemasukan pelancong yang divaksin sepenuhnya dalam usaha untuk menghalang varian coronavirus Omicron.
Keputusan itu diumum pada Isnin ketika negara itu meluncurkan program vaksinasi tiga hari menyasarkan sembilan juta penduduk seawal usia 12 tahun dalam usaha untuk mempercepatkan vaksinasi.
Setakat ini, Filipina tidak melaporkan sebarang kes Omicron, yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan sejak itu telah merebak ke seluruh dunia.
Minggu lepas Manila mengumumkan pelan untuk membenarkan pelancong divaksin sepenuhnya masuk mulai 1 Disember bagi mempercepat pemulihan ekonominya.
Namun pada hujung minggu pasukan petugas Covid-19 kerajaan mengubah pelan tersebut dengan mengumumkan pembatalan penerbangan dari tujuh negara Eropah, selain larangan dari beberapa negara Afrika.
“IATF anggap perlu bagi menggantung kemasukan pelancong asing, memandangkan kebimbangan seluruh dunia terhadap varian Omicron,” kata pesuruhjaya Biro Imigresen Jaime Morente pada Isnin, menggunakan akronim untuk pasukan petugas Covid-19 itu.
Keputusan itu merupakan tamparan hebat kepada pengendali pelancongan di seluruh negara kepulauan itu, yang telah kerugian teruk akibat kejatuhan pelawat antarabangsa dan sekatan ke atas perjalanan domestik sejak sempadan ditutup pada Mac 2020.
Pelancongan merupakan pemacu utama ekonomi Filipina, menyumbang hampir 13 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada 2019. – AFP, 29 November, 2021.
Komen