BERMULA minggu depan Filipina akan membuka semula sempadan kepada pelancong yang telah divaksin sepenuhnya, selepas lebih 20 bulan negara kepulauan itu ditutup kerana pandemik Covid-19.
Jangkitan Covid-19 yang makin menurun dan peningkatan vaksinasi membolehkan negara itu memulihkan sektor pelancongan yang terjejas dengan membuka semula sempadan pada 1 Disember, kata jurucakap Presiden Rodrigo Duterte, Karlo Nograles kepada pemberita.
Pelancong yang divaksin sepenuhnya dari 157 negara tidak perlu menjalani kuarantin jika diuji negatif sejurus sebelum penerbangan mereka dan jika tidak pergi ke negara yang mempunyai kadar jangkitan tinggi dalam dua minggu sebelum.
Senarai negara diluluskan yang disediakan oleh Nograles, tidak termasuk China, pasaran pelancong yang paling pesat berkembang, serta Taiwan dan India.
Namun ia memasukkan baki 10 sumber pelancongan teratas Manila iaitu Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Australia, Kanada, Britain dan Jerman.
Senarai itu membenarkan penyambungan semula perjalanan tanpa visa untuk lawatan singkat di bawah 30 hari kepada warganegara dari 157 negara yang telah menikmati kemasukan tanpa permit ke Filipina sebelum pandemik melanda.
“Ini benar-benar peluang kami untuk pulihkan ekonomi,” tambahnya.
Pelancongan merupakan pemacu utama ekonomi negara Asia Tenggara itu, menyumbang hampir 13 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada 2019, apabila lebih lapan juta orang melawat, menurut data rasmi.
Ia kemudiannya jatuh kepada 5.4 peratus tahun lepas apabila ketibaan pelancong merosot 82 peratus kepada 1.48 juta. – AFP, 26 November, 2021.
Komen