Lebih 1,400 doktor kontrak letak jawatan sejak 2017, kata timbalan menteri


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Antara sebab peletakan jawatan doktor kontrak termasuk menyambung perkhidmatan dalam sektor swasta, atas sebab peribadi, berkhidmat di badan berkanun, melanjutkan pelajaran, masalah kesihatan, berkhidmat di luar negara dan membuka klinik sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2021.

LEBIH 1,400 pegawai perubatan kontrak letak jawatan sejak 2017, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau memaklumkan Dewan Rakyat, seramai 110 orang letak jawatan pada 2017, 168  pada 2018, 475 (2019), 511 (2020) dan 514 orang dari Januari hingga 26 November 2021.

Antara sebab peletakan jawatan termasuk menyambung perkhidmatan dalam sektor swasta, atas sebab peribadi, berkhidmat di badan berkanun, melanjutkan pelajaran, masalah kesihatan, berkhidmat di luar negara dan membuka klinik sendiri, tambahnya.

“Ramai juga yang mempunyai masalah kesihatan dan terpaksa mengambil rawatan dan sebagainya, serta tidak dapat meneruskan kerjaya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Noor Azmi menjawab soalan asal Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah-Kuala Selangor) yang bertanya mengenai statistik bilangan pegawai perubatan siswazah yang meletakkan jawatan mengikut tahun dan punca peletakan jawatan itu.

Media sebelum ini melaporkan ramai doktor kontrak meletak jawatan kerana kepenatan serta tidak mampu lagi menampung bebanan dan tekanan susulan lonjakan kes Covid-19, selain tiada tawaran ke jawatan tetap.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 9 November lalu berkata seramai 4,186 doktor kontrak akan dilantik ke jawatan tetap tahun depan.

Cuma 789 daripada 23,077 doktor kontrak yang berkhidmat sejak 2016 telah ditawarkan jawatan tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak. – 29 November, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen