4,186 doktor kontrak dilantik ke jawatan tetap, kata Khairy


Chan Kok Leong

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan akan melantik 4,186 doktor kontrak ke jawatan tetap tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2021.

KERAJAAN akan melantik 4,186 doktor kontrak ke jawatan tetap tahun depan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Mereka adalah daripada 10,583 pegawai yang tamat tempoh khidmat wajib yang telahpun dinilai dan diperakui kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk lantikan tetap, katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Jumlah yang diperlukan untuk tahun depan, permohonan 4,186 perjawatan pelantikan tetap yang meliputi 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian, 300 pegawai farmasi adalah RM377,485,089.00,” jelasnya semasa sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Menurut Khairy, pelatikan itu selaras dengan keputusan Kabinet pada 14 Julai lalu untuk menyambung kontrak pegawai perubatan yang sudah melengkapkan khidmat wajib kepada dua tahun lagi.

Beliau menjawab soalan yang diajukan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) berkenaan langkah kerajaan dalam menghadapi protes kedua Hartal Doktor Kontrak.

Khairy dalam pada itu berkata kerajaan sedang menentukan berapa ramai doktor yang diperlukan pada tahun-tahun seterusnya.

“Sejak akhir 2016, setiap pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak, iaitu lebih 24,000 orang, yang ditawarkan secara tetap hanya 1,000 sahaja.

“Ia adalah masalah legasi lama yang perlu kita atasi segera. Saya tak pasti sama ada kita dapat serap semua yang ada di bawah kontrak.

“Namun, kita mula dengan unjuran keperluan dahulu dan saya pasti unjuran keperluan itu kita akan usahakan supaya jumlah itu dapat kita serapkan untuk dimasukkan dalam perkhidmatan tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort).

Kerajaan juga katanya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas Bagi penyelesaian jangka panjang isu lantikan kontrak, dengan meneliti keperluan untuk meminda beberapa akta berkaitan termasuk Akta Perubatan 1971 dan Akta Pergigian 1971.  – 9 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen