Hospital Tangkak dinaik taraf, kata exco


Hospital Tangkak hanya mempunyai 69 katil, menurut Vidyananthan. – Gambar Facebook, 28 November, 2021.

KERAJAAN negeri Johor bercadang menaik taraf fasiliti dan infrastruktur Hospital Tangkak dalam masa terdekat bagi mengurangkan kesesakan sekali gus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan (BN-Kahang) berkata, langkah itu bagi memastikan setiap hospital di 10 daerah negeri itu mempunyai ‘kelas’ tersendiri seiring dengan kepesatan pembangunan dan pertambahan jumlah penduduk.

“Saya sudah melawat Hospital Tangkak dan saya setuju fasiliti dan infrastruktur hospital itu sudah usang berbanding hospital di daerah lain kerana Hospital Tangkak adalah hospital lama serta perlu dibuat sesuatu (naik taraf).

“Ketika dibina hospital itu, Tangkak belum jadi daerah, kini Tangkak sudah jadi daerah. Kita percaya setiap hospital di daerah mestilah ada kelasnya tersendiri, Tangkak juga daerah yang tersendiri,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ee Chin Li (PH-Tangkak) yang ingin tahu sama ada Hospital Tangkak akan dinaik taraf atau tidak memandangkan hospital itu kini menjadi hospital kluster, namun hanya mempunyai sebanyak 69 katil.

Vidyananthan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) setiap tahun sentiasa mempunyai cadangan menaik taraf setiap hospital terutamanya di daerah dan beliau percaya Hospital Tangkak turut disenaraikan dalam usaha pembangunan dan penaiktarafan hospital di seluruh Johor.

Daerah Tangkak adalah daerah ke-10 yang diwujudkan di Johor kerana persempadanan semula daerah Muar. Ia diwartakan sebagai daerah pada 29 Mac 2007 dan dirasmikan pada 9 Jun 2008 oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Berkuat kuasa 1 Januari 2016 selaras dengan keputusan majlis mesyuarat kerajaan negeri Johor yang bersidang pada 9 September 2015 dan melalui perkenan Sultan Ibrahim, nama daerah Ledang ditukar kepada Tangkak.

Ketika menjawab soalan Mohd Khuzzan Abu Bakar (PH-Semerah), Vidyananthan berkata, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi pembaikan 44 klinik kesihatan dan klinik desa bagi 2022.

“JKNJ memohon peruntukan sebanyak RM10.1 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi tujuan pembaikan fasiliti,” katanya sambil menambah semua peralatan klinik kesihatan dan klinik desa diselenggara secara berjadual di bawah kontrak perjanjian konsesi hingga 2027.

Mohd Khuzzan sebelum itu ingin tahu mengenai perancangan kerajaan negeri bagi memastikan fasiliti bangunan dan peralatan di klinik kesihatan dan poliklinik serta klinik desa sentiasa berada dalam keadaan yang memuaskan dan selamat. – Bernama, 28 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen