KKM lapor 1,177 kemasukan pesakit ke hospital akibat Covid-19


Raevathi Supramaniam

Kadar penggunaan katil hospital menurun dari 70.5% sehari sebelumnya kepada 67.9% semalam di mana 39.3% adalah kes berkaitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2021.

KEMASUKAN ke hospital akibat Covid-19 kini berjumlah 1,177 setakat semalam, turun daripada 1,181 kemasukan dari hari sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kadar penggunaan katil hospital juga menurun dari 70.5% sehari sebelumnya kepada 67.9% di mana 39.3% adalah kes berkaitan Covid-19.

Terdapat 329 kemasukan di Lembah Klang manakala kadar penggunaan katil hospital ialah 59%.

Selangor melaporkan 282 kemasukan, Kuala Lumpur (27) dan Putrajaya (20).

Negeri lain yang melaporkan kemasukan baharu ialah Johor dengan 208, Kedah (42), Kelantan (106), Melaka (23), Negeri Sembilan (47), Pahang (34), Perak (68), Perlis (12), Pulau Pinang (26), Sabah (121), Sarawak (83) dan Terengganu (78).

Labuan adalah satu-satunya negeri yang tidak merekodkan sebarang kemasukan.

Malaysia juga melaporkan 5,481 kes baharu Covid-19 semalam yang merupakan penurunan daripada 6,144 kes pada hari sebelumnya.

Lembah Klang mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,948. Daripada jumlah itu 1,479 dari Selangor, 400 dari Kuala Lumpur dan 69 dari Putrajaya.

Negeri lain yang melaporkan kes ialah Johor (430), Kedah (428), Kelantan (442), Melaka (229), Negeri Sembilan (1159), Pahang (358), Perak (262), Perlis (30), Pulau Pinang (369), Sabah (486), Sarawak (144), Terengganu (189) dan Labuan (27).

Dengan penambahan kes baharu itu, kini terdapat 67,757 kes aktif Covid-19 di negara ini.

Kira-kira 54,020 (80%) daripada kes aktif ini berada di bawah kuarantin di rumah, 7,474 (11.1%) berada di pusat kuarantin berisiko rendah manakala 5,534 (8.2%) dimasukkan ke hospital.

Terdapat 519 individu di unit rawatan rapi (ICU) dengan 267 menggunakan ventilator.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi amaran hampir semua negeri dan wilayah di negara ini menunjukkan peningkatan kes Covid-19 dan kemasukan ke hospital selepas sekatan perjalanan antara negeri ditarik semula.

Menteri kesihatan berkata penggunaan katil termasuk bagi mereka yang berada dalam penjagaan kritikal semakin meningkat dengan pantas.

Khairy berkata pesakit Covid-19 dari kategori 1 hingga 5 yang dirawat di kemudahan kesihatan di seluruh negara semakin meningkat. – 27 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen