Kes Covid-19 meningkat selepas kebenaran rentas daerah, kata Khairy 


Ravin Palanisamy

Perjalanan rentas daerah mula dibenarkan bermula 11 Oktober lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2021.

HAMPIR semua negeri menunjukkan peningkatan kes Covid-19 dan kemasukan ke hospital selepas sekatan perjalanan rentas daerah ditarik balik, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan berkata penggunaan katil, termasuk mereka yang menerima rawatan kritikal, semakin meningkat dengan pantas.

“Berikutan pembatalan sekatan perjalanan antara daerah mulai 11 Oktober, hampir semua negeri menunjukkan peningkatan kes Covid-19 kecuali Perlis, Sarawak dan Sabah.

“Jika diperhatikan secara terperinci, enam negeri dan wilayah iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan dan Labuan menunjukkan kadar penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus.

“Tujuh negeri dan wilayah iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Kelantan menunjukkan kadar penggunaan katil ICU melebihi 50 peratus,” kata Khairy pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Khairy berkata, pesakit Covid-19 dari Kategori 1 hingga 5 yang dirawat di fasiliti kesihatan di seluruh negara juga semakin meningkat.

Beliau berkata minggu lepas sahaja, purata kes aktif Covid-19 menunjukkan peningkatan sebanyak 6% berbanding minggu sebelumnya.

“Purata penunjuk kes aktif Covid-19 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 6% pada minggu lepas daripada 62,224 kes ( minggu epidemiologi ke 45) kepada 65,722 kes (minggu epidemiologi ke 46).

“Ini kerana kes harian Covid-19 pada minggu epidemiologi ke-46 meningkat kepada 40,600 kes berbanding 39,181 kes pada minggu epidemiologi ke-45.

“Jadi, walaupun lebih 98% kes baharu Covid-19 adalah kategori 1 dan 2, peningkatan kes baharu dan kes aktif Covid-19 selama dua minggu berturut-turut menyebabkan kemasukan kes ke fasiliti kesihatan.

“Oleh itu, secara keseluruhannya kadar penggunaan kemudahan kesihatan (katil bukan ICU, katil ICU dan pusat kuarantin berisiko rendah) didapati mula meningkat semula terutama di Lembah Klang,” kata Khairy.

Khairy berkata antara peningkatan pesakit Covid-19 Kategori 3 hingga 5 yang dirawat di fasiliti kesihatan itu ialah mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan juga warga emas (60 tahun ke atas).

Katanya ia mungkin disebabkan paras antibodi yang menurun kerana mereka dalam kumpulan umur ini adalah yang paling awal menerima dua dos utama vaksin Covid-19.

Beliau turut menggesa orang ramai mendaftar dan mengambil dos penggalak supaya tahap jangkitan dapat dikurangkan.

“Golongan tua dan mereka yang berumur antara 40 hingga 59 tahun menerima vaksin Covid-19 lebih awal. Oleh itu, tahap antibodi mereka juga telah menurun lebih awal.

Justeru, bagi memastikan tahap antibodi kekal optimum, kementerian mengesyorkan pemberian dos penggalak,” katanya.

Khairy berkata sehingga 25 November lalu, sebanyak 1,823,474 dos penggalak telah diberikan. – 26 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen