Tambahan RM2 bilion dalam Bajet 2022 akan satukan Malaysia, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan menambah RM2 bilion bagi peruntukan untuk Bumiputera, bukan Bumiputera, Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2021.

PERUNTUKAN tambahan sebanyak RM2 bilion untuk Bumiputera, bukan Bumiputera, Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2022 akan membantu menyatukan Malaysia, kata Lim Guan Eng.

Ini sekali gus akan membuktikan konsep Keluarga Malaysia yang dilhamkan Perdana Menteri Ismail Sabri bukanlah sekadar slogan kosong, tambah setiausaha agung DAP itu.

“Peruntukan kerajaan berdasarkan keperluan dapat memberikan keadilan sosio-ekonomi, hasil yang berkesan dan menyatupadukan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas menteri kewangan itu berkata tambahan RM500 juta bagi setiap empat sektor kritikal tersebut hanya berjumlah 0.1% daripada defisit belanjawan.

Dalam Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada 29 Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan RM11.4 bilion untuk Bumiputera tetapi hanya RM345 juta bagi masyarakat Cina dan India.

Tambahnya, tambahan RM2 bilion di samping Belanjawan 2022 berjumlah RM332 bilion tidak akan menjejaskan tahap hutang kerajaan Persekutuan atau defisit belanjawan sebanyak 6.5% tahun ini dan 6% tahun depan.

Ia bagaimanapun mungkin kritikal untuk mengatasi pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi, kata Lim.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah PAS menentang cadangan peruntukan tambahan itu, mendakwa ia bukan Bumiputera tidak patut mendapat tambahan RM500 juta kerana hanya terdiri 30% daripada populasi negara ini.

“DAP kesal ahli Parlimen PAS terus menentang peruntukan tambahan itu bukan atas dasar rasional ekonomi tetapi atas dasar kaum. 

“PAS tidak mengendahkan rasa tidak senang hati bukan Bumiputera bahawa walaupun membentuk 30% daripada penduduk, mereka hanya menerima RM345 juta atau 0.1% daripada Belanjawan 2022 yang berjumlah RM332 bilion,” kata Lim.

Jelasnya, menggunakan sentimen perkauman atau ekstremis untuk mewajarkan pengagihan peruntukan kerajaan bukan sahaja akan memecahbelahkan malah membawa kepada kronisme, rasuah dan salah guna kuasa terhadap penggunaan dana dan sumber kerajaan.

PAS juga katanya masih terus menggunakan perkauman dan ekstremisme sebagai senjata politik untuk meraih sokongan dengan menolak peruntukan kepada bukan Bumiputera.

Beliau menegaskan DAP tidak membantah peruntukan RM11.4 bilion untuk Bumiputera, namun menggesa peruntukan yang lebih dan adil untuk Sabah, Sarawak dan semua rakyat Malaysia.

“Menggunakan sentimen perkauman atau ekstremis dalam peruntukan Belanjawan tidak akan membantu dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian golongan miskin dan perniagaan, terutamanya PKS.”

Lim seterusnya berkata berbanding Belanjawan 2020 Pakatan Harapan (PH), peruntukan untuk Sabah dan Sarawak berkurang di bawah Belanjawan 2022.

“Tidak boleh dinafikan bahawa daripada segi peratusan, Sabah dan Sarawak menerima peruntukan yang lebih rendah di bawah Belanjawan 2022 berbanding Belanjawan 2020 PH. 

“Perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2022 meningkat kepada RM75.6 bilion berbanding RM56 bilion dalam Belanjawan 2020 PH. 

“Bagaimanapun, Sabah masih menerima jumlah perbelanjaan pembangunan RM5.2 bilion yang sama dalam Belanjawan 2022 seperti yang diperuntukkan PH dalam Belanjawan 2020.

“Dalam erti kata lain, nasib Sabah lebih teruk dengan menerima 6.9% daripada perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2022 berbanding 9.3% di bawah Belanjawan 2020 PH,” kata Lim.

Jika Sabah diberi 9.3% perbelanjaan pembangunan yang sama dalam Belanjawan 2022 yang PH telah sediakan dalam Belanjawan 2020, maka Sabah sepatutnya menerima RM7 bilion dan bukannya RM5.2 bilion, tambahnya. – 25 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen