LITHUANIA telah menunjukkan kepada dunia cara untuk menentang tekanan China dengan mempelbagaikan rantaian bekalan dan bersatu dengan negara demokrasi, kata menteri luar negara Kesatuan Eropah (EU) itu pada Rabu.
Salah satu negara EU terkecil, Lithuania telah membuktikan kekuatan diplomatiknya dengan membenarkan Taiwan membuka pejabat atas nama sendiri dan, secara berasingan, mengalu-alukan pembangkang dari negara jiran Belarus yang mendakwa menang pilihan raya tahun lepas.
Semasa lawatan ke Washington, Menteri Luar Gabrielius Landsbergis berkata beliau bercakap dengan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) mengenai usaha Lithuania mengurangkan kebergantungan kepada China untuk bekalan dan menyeru usaha jangka panjang membantu negara lain yang menghadapi tekanan.
“Saya berpendapat apa yang boleh dibelajar daripada Lithuania, paksaan ekonomi tidak semestinya bermakna negara itu perlu berundur daripada keputusan dasar luar,” kata Landsbergis kepada AFP.
“Mungkin anda akan diugut, anda akan dimaki dalam tajuk berita media Cina, tetapi bagaimanapun, anda boleh tahan.”
Walaupun negara-negara autoritarian bercakap tentang kegagalan demokrasi, “Perlu saya katakan, satu-satunya kelemahan demokrasi ialah tidak dapat membantu satu sama lain,” katanya.
Lithuania, seperti hampir semua negara, hanya mengiktiraf China dan bukan Taiwan, sebuah demokrasi yang memerintah sendiri yang Beijing anggap sebagai wilayah yang menunggu penyatuan semula.
Tetapi melangkah lebih jauh daripada AS, Lithuania membenarkan Taiwan membuka pejabat di Vilnius atas namanya sendiri, menyebabkan China meregangkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara Baltik tersebut.
Tindakan balas itu mengukuhkan imej yang alat utama China “bukan diplomasi” tetapi “datang daripada kedudukan kuasa dan negara yang memaksa,” kata Landsbergis.
“Banyak negara merasakan ada pedang halimunan yang tergantung di atas kepala mereka” jika mereka tidak melayan karenah Beijing,” katanya.
Landsbergis berkata negara lain menghubungi Lithuania mengenai pengalamannya dan mereka “100 peratus ingin mempunyai lebih banyak ruang untuk membuat keputusan bebas mengenai dasar luar mereka.” – AFP, 25 November, 2021.
Komen