CHINA pada Jumaat mengecam Taiwan kerana membuka pejabat kedutaan di Lithuania sebagai “kesilapan besar,” berkata sebarang langkah menuntut kemerdekaan “ditakdirkan gagal.”
Pada Khamis Taipei umum buka pejabat rasmi di Lithuania menggunakan nama Taiwan, satu tindakan diplomatik penting yang melanggar tekanan Beijing.
“Cuma ada satu China di dunia, Taiwan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari wilayah China,” kata kementerian luar China dalam satu kenyataan.
“Kami gesa Lithuania segera betulkan kesilapan ini.”
China cuba mengasingkan Taipei dari persada dunia, membantah sebarang penggunaan rasmi perkataan “Taiwan”, supaya ia tidak memberikan rasa legitimasi antarabangsa kepada pulau itu, yang didakwa Beijing sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan telah berikrar untuk merampasnya suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.
“Kerajaan Lithuania, dengan tidak menghiraukan bantahan keras China, telah meluluskan penubuhan yang dipanggil ‘Pejabat Perwakilan Taiwan di Lithuania’,” tambah kenyataan Beijing.
“Kerajaan China menyatakan bantahan keras dan kukuh terhadap tindakan silap ini.
“Pihak Lithuania akan bertanggungjawab atas semua akibat yang mendatang.”
Lithuania pada Julai bersetuju membenarkan Taiwan membuka pejabat perwakilan menggunakan namanya, langkah diplomatik pertama pulau itu di Eropah sejak 18 tahun.
Tindakan itu menyinggung China yang menarik balik dutanya ke Lithuania dan menuntut Vilnius buat perkara sama, yang akhirnya dituruti.
China turut menghentikan kereta api kargo ke Lithuania dan berhenti mengeluarkan permit eksport makanan.
“Pejabat Perwakilan Taiwan di Lithuania secara rasmi memulakan operasinya di Vilnius pada 18 November 2021,” kata kementerian luar negeri pada Khamis, melanggar tradisi pulau itu yang memanggil pejabat perwakilannya sebagai Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei.
Kementerian Luar Taiwan berkata pejabat di Lithuania itu akan diketuai oleh Eric Huang, yang kini merupakan ketua misi Taipei di negara jiran Latvia.
“Kami sangat gembira kerana ada peluang menjadi fasilitator dan penganjur hubungan antara Taiwan dan Lithuania,” kata Huang kepada AFP.
Mengenai kepentingan penggunaan nama Taiwan, beliau berkata ia “sudah tentu sangat bermakna”.
“Kami tidak akan terlalu menekankan tentang konteks geopolitik. Sebagai pejabat perwakilan negara saya, apa yang saya fokuskan adalah untuk galak hubungan substantif.”
Hanya 15 negara yang mengiktiraf Taipei secara rasmi berbanding Beijing.
Namun Taiwan mengekalkan pejabat perwakilan setara dengan kedutaan di banyak negara dan beberapa negara mempunyai pengaturan serupa di Taipei.
Sokongan antarabangsa untuk Taiwan telah berkembang sejak Presiden China Xi Jinping berkuasa.
Beliau telah memulakan era yang lebih autoritarian dan keras, mengambil pendekatan lebih agresif ke atas Taipei sejak pemilihan Presiden Tsai Ing-wen pada 2016.
Beliau dibenci Beijing kerana menganggap Taiwan sebagai negara yang berdaulat dan bukan sebahagian daripada “satu China”. – AFP, 19 November, 2021.
Komen