Penanam sayur, buah mengeluh kenaikan 200% harga baja, racun perosak


Angie Tan

Jika masalah dialami petani tidak diatasi, pengguna mungkin perlu membayar lebih bagi sayur dan buah, terutama menjelang Krismas dan Tahun Baharu Cina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2021.

PENANAM buah dan sayur-sayuran dalam dilema susulan kenaikan 200% kos baja dan racun perosak, kata kumpulan peladang.

Mereka berkata satu-satunya penyelesaian ialah campur tangan kerajaan, sambil menambah kira-kira 30% petani tanah sudah hampir dirampas.

Pelbagai faktor menyebabkan kenaikan kos, kerana banyak bahan diimport dan masalah rantaian bekalan global menjejaskan perdagangan walaupun negara sedang bangkit semula daripada wabak untuk membuka semula ekonomi mereka, menurut ketua persatuan peladang.

Situasi bertambah buruk dengan kekurangan buruh asing dalam sektor perladangan, dengan kebanyakan pekerja lebih suka bekerja di ladang kelapa sawit – sektor yang juga menghadapi kekurangan buruh.

Presiden Persatuan Petani Buah-buahan Malaysia Hong Jok Hon berkata berdasarkan pengalamannya dalam sektor ini selama 53 tahun, beliau tidak pernah menghadapi situasi sedemikian dengan pelbagai perkara berlaku serentak.

“Terdapat pelbagai faktor - besar dan kecil - berlaku di seluruh dunia yang membawa kepada keadaan sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight

“Walaupun isu itu tidak terpencil bagi Malaysia, saya harap kerajaan akan memberi perhatian kepada nasib kita dan memberi bantuan kepada penanam buah-buahan.”

Beliau berkata walaupun ekonomi dibuka semula, petani tidak menaikkan harga hasil tanaman supaya tidak membebankan pengguna.

Tetapi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam berkata pembeli sudah membayar sehingga lebih 200% bagi produk tertentu.

Ia tidak menyatakan perkara di sebalik kenaikan harga itu, tetapi menggesa kerajaan segera campur tangan.

Hong berkata petani mengehadkan hasil mereka dengan tidak menanam lebih daripada yang mereka boleh jual, kerana kuasa beli pengguna masih di bawah paras sebelum pandemik.

Jika harga bahan mentah terus meningkat dan tiada bantuan kerajaan, sekurang-kurangnya 30% penanam buah akan gulung tikar dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, tambahnya.

Harga racun herba meningkat kira-kira 200%, racun serangga sebanyak 30% hingga 50%, dan peralatan pertanian sebanyak 5% hingga 20%, menurut ketua persatuan peladang.

Harga baja kimia melonjak kepada RM3,700 hingga RM4,000 setan, daripada hanya RM1,700 setan sebelum ini.

Daripada barangan yang mengalami kenaikan harga, 70% diimport sama ada dari China atau Eropah.

Pengerusi Persatuan Penanam Buah-buahan Perak Lim Poh Kuang berkata ramai petani di ambang muflis.

Kos baja kimia meningkat secara berterusan sejak Ogos dan dijangka terus meningkat, tambahnya.

“Bukan sahaja mahal, tetapi kami juga mengalami kekurangan barangan kerana sesetengah petani memutuskan untuk menyimpan stok kerana menjangkakan kenaikan harga.”

Presiden Persatuan Peladang Sayur Malaysia, Lim Ser Kwee berkata, seorang petani boleh menyimpan baja sehingga tiga bulan, paling lama.

“Selepas itu, kami menghadapi masalah aliran tunai sekali lagi dan tertanya-tanya sama ada kami mampu untuk membeli lebih banyak baja.”

Jika ini berterusan, pengguna mungkin perlu membayar lebih bagi sayur-sayuran, terutama dengan Tahun Baharu Cina yang semakin hampir selepas Krismas, tambahnya.

Persekutuan Persatuan Peladang Sayur Malaysia menyerahkan memorandum kepada kerajaan untuk mengetengahkan isu tersebut dan berharap ia dapat diselesaikan segera.

Lim berkata satu isu penting ialah kekurangan buruh asing, yang menyebabkan penurunan ketara dalam pengeluaran.

Larangan Putrajaya terhadap kemasukan buruh asing semasa pandemik Covid-19 menyumbang kepada masalah ini dan berterusan walaupun selepas kerajaan persekutuan menarik balik larangan itu bulan lepas.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata kerajaan menyedari masalah dihadapi petani berikutan kenaikan harga bahan mentah.

Kementerian berkaitan sudah diarahkan untuk menyelesaikannya, dengan memastikan harga dikurangkan dan petani menerima bantuan, tambahnya.  – 24 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen