Permintaan buah merosot, pekebun terpaksa buang hasil tanaman


Angie Tan

Jualan buah-buahan merosot sepanjang PKP apabila ia dianggap bukan makanan penting dan gerai di tepi jalan serta pasar malam tidak dibenarkan beroperasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2021.

PEKEBUN buah di kawasan tengah dan utara Semenanjung mengalami kerugian kira-kira 30% sejak dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dari 1 hingga 14 Jun akibat permintaan yang berkurangan.

Dengan PKP 3.0 dilanjutkan hingga 28 Jun, mereka bimbang pendapatan akan terjejas lebih teruk lagi terutama apabila pasar malam tidak dibenarkan beroperasi.

Presiden Persatuan Pekebun Buah Perak Lim Poh Kuang berkata banyak gerai buah di tepi jalan ditutup sepanjang PKP.

Buah-buahan tempatan biasanya untuk jualan di gerai seperti itu selain pasar raya besar dan peniaga pasar malam, katanya.

“Biasanya lebih 20 gerai buah dibuka di tepi jalan di kawasan kampung baharu, kini hanya ada dua atau tiga gerai dibuka kerana walau banyak gerai sekalipun, orang tidak datang membeli buah sepanjang PKP,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Pasar raya besar juga terpaksa kurangkan tempahan kerana jumlah pelanggan yang menurun kerana ramai menjauhi kawasan sesak. Sesetengah pelanggan juga berjimat cermat dalam berbelanja pada masa ini.

“Orang akan beli sayur dan daging sebagai bahan runcit utama, dan buah kelihatan kurang penting, jadi permintaannya merosot.”

Awal bulan ini pada permulaan PKP, kebun buah Lim terpaksa membuang 500 kg buah jambu air setiap hari. Ia susulan berlaku lambakan buah itu kerana ia musim mengutip buah itu yang sudah masak, tetapi jumlah pemborong berkurangan untuk membelinya.

“Saya sedih lihat buah itu dibazirkan begitu, kerana jambu air tidak tahan lama.”

Selain pasar raya besar dan pasar malam, buah-buahan tempatan biasanya dijual di gerai-gerai tepi jalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2021.

Lim juga bimbang pembaziran akan berlaku lagi apabila musim mangga tiba tidak lama lagi.

“Buah mangga boleh dipetik secara berperingkat mengikut tahap matangnya. Ia juga boleh tahan lama.

“Tetapi jika mangga terus masak sebelum dikutip daripada pokok dan jumlah jualan tidak meningkat, ia juga terpaksa dibuang.”

Daripada sebelum ini jualan borong buah antara 1,000 hingga 2,000 kg setiap tempahan, Lim berkata beliau kini cuba menjual hasil tanamannya dalam jumlah kecil iaitu 100kg dan dihantar ke destinasi lebih dekat.

Beliau juga cuba mendapatkan tempahan menerusi rakan dan komuniti kecil, bukan menyasarkan pemborong dan peniaga besar.

Beliau juga cuba mempelbagaikan tanaman dengan menanam makanan lain yang lebih tahan lama.

Bagaimanapun, pekebun buah di selatan lebih bernasib baik sedikit kerana produk mereka untuk pasaran eksport.

Presiden Persatuan Pekebun Buah Malaysia Hong Jok Hon berkata pekebun di selatan mengalami 10% kerugian daripada hasil pendapatan.

Kebanyakan hasil tanaman mereka untuk dieksport ke Singapura, jadi permintaan untuk buah-buahan mereka masih agak stabil.

“Keadaan lebih sukar untuk pekebun di kawasan tengah dan utara kerana mereka tidak boleh eksport hasil tanaman ke Singapura.

“Bila pasar tempatan dan pasar malam dilarang beroperasi, pendapatan mereka terjejas,” kata Hong.

Beliau berkata walaupun banyak pekebun buah cuba pendekatan jualan cara lain, sama ada menurunkan harga atau jualan menerusi saluran atas talian, mereka hanya dapat menjualnya dalam jumlah terhad.

Dalam keadaan jika pandemik ini berterusan, Hong mencadangkan supaya pekebun mendapatkan pembeli terlebih dulu sebelum musim menanam akan datang. – 19 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen