Ramasamy desak Pakatan batal MoU dengan Putrajaya


Raevathi Supramaniam

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy menyeru Pakatan Harapan batalkan perjanjian persefahaman ditandatangani dengan Putrajaya kerana ia tidak memberi impak apatah lagi menguntungkan gabungan pembangkang. perlu– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2021.

PAKATAN Harapan (PH) patut batalkan memorandum persefahaman (MoU) mengenai kestabilan dan transformasi politik yang ditandatanganinya dengan kerajaan kerana ia tidak capai tujuan, kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy hari ini.

Ahli Parlimen DAP itu berkata MoU tersebut langsung tidak bawa untung kepada PH, sebaliknya dipenuhi dengan objektif yang tidak tercapai.

“PH patut batalkan MoU yang tidak beri tujuan selain kredibiliti kepada kerajaan PN (Perikatan Nasional).

“MoU ini beban buat PH, makin lama ditanggung, makin banyak masalah akan timbul,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.

MoU mengenai transformasi dan kestabilan politik itu ditandatangani Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Pengerusi Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau pada 13 September lepas.

MoU itu menggariskan enam teras iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kebebasan institusi kehakiman, pembaharuan Parlimen, transformasi pentadbiran dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Berdasarkan perjanjian yang dipersetujui, kerajaan berjanji untuk melaksanakan tiga pembaharuan besar pada pertengahan tahun depan sebelum sesi Parlimen berikutnya atau kelima.

Antaranya termasuk undang-undang antilompat parti, suntikan tambahan RM45 bilion dalam dana Covid-19 serta mempercepatkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik, selain mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

Pelbagai reformasi Parlimen turut dimasukkan dalam MoU tersebut, seperti rang undang-undang perkhidmatan Parlimen, yang bertujuan untuk memulihkan autonomi Parlimen dalam kewangan dan pentadbirannya.

Pembaharuan lain termasuk memastikan ada wakil yang seimbang ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam jawatankuasa pilihan, serta memastikan kesimbangan jumlah jawatankuasa pilihan dipengerusikan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ramasamy berkata memandangkan PH kalah pada pilihan raya Melaka baru-baru ini, gabungan itu perlu cari jalan baharu untuk perbaiki dan maju ke depan.

“PH mungkin kalah dalam pilihan raya Melaka, tetapi sudah pasti ia tidak kalah di peringkat negara.

“Daripada terlalu bimbang tentang apa yang sudah berlaku, persiapan perlu dibuat untuk pilihan raya umum akan datang.”

Umno kembali berkuasa di Melaka dengan membawa Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar, di mana gabungan itu menang 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus dapat bentuk kerajaan baharu dengan majoriti dua pertiga.

Bagi PH yang dipimpin Anwar Ibrahim memenangi lima kerusi – empat oleh DAP dan satu oleh Amanah, manakala PKR gagal menang sebarang kerusi.

PKR bertanding di 11 kerusi, dan antara nama besarnya yang kalah termasuk ketua penerangan PKR Shamsul Iskandar di Paya Rumput dan bekas menteri besar Melaka dan pemimpin Umno Idris Haron di Asahan.

Walaupun PH mungkin tidak dapat mengulangi prestasi lepas pada pilihan raya umum ke-14, di mana ia membentuk kerajaan, Ramasamy berkata ia tidak ada pilihan selain perlu mula bagi tumpuan kepada pilihan raya umum akan datang.

“Dalam pilihan raya umum lepas, keadaan memihak kepada PH. Semangatnya yang tinggi dalam mendedahkan skandal kewangan 1MDB dan lain-lain berjaya menarik pengundi memihak kepada PH.

“Ia mampu tonjolkan imej kerajaan alternatif kepada BN. Saya tidak pasti sama ada PH boleh ulangi prestasi yang sama.

“Ia tiada pilihan selain bermula sekarang. Sudah banyak skandal dan rasuah didedahkan,” kata Ramasamy. – 23 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen