PERDANA Menteri Najib Razak menggesa semua pihak menghormati keputusan mahkamah berkaitan penukaran agama tiga anak M. Indira Gandhi kepada agama Islam oleh bekas suaminya.
Najib berkata, walaupun ia tidak memuaskan hati sesetengah pihak, keputusan itu perlu diterima kerana ia diputuskan oleh sistem kehakiman tertinggi negara.
“Kita anggap kita menghormati, kita dah ada sistem kehakiman dalam negara kita, kena terima keputusan mahkamah tertinggi dalam negara kita.
“Apa pun keputusannya kita hormat dan saya fikir memang sukar untuk kita puaskan hati semua pihak, tetapi yang penting bagi kami adalah memastikan kita menghormati proses sistem itu,” katanya.
Najib berkata, pihaknya juga akan mengkaji semula pindaan ke atas Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) yang masih tidak menyelesaikan isu utama berhubung pertukaran agama anak.
“Kami akan lihat perkara itu (klausa 88A),” katanya ringkas kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Pindaan ke atas Akta 164 itu diluluskan pada Ogos tahun lalu tanpa peruntukan Seksyen 88A yang sepatutnya menamatkan isu pertukaran agama anak sebelah pihak oleh ibu atau bapa bukan Islam yang menukar agama kepada Islam.
Bagaimanapun usaha untuk memperkenalkan semula peruntukan Seksyen 88A itu mendapat tentangan dari PAS yang melihatnya sebagai tindakan yang akan menambah ketegangan terhadap isu yang sedia ada serta menyemarakkan kemarahan umat Islam.
Isu melibatkan pindaan akta berkenaan timbul semula susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang menetapkan bahawa penukaran agama tiga anak M. Indira Gandhi kepada agama Islam sebagai terbatal dan tidak sah.
Keputusan itu dibuat oleh panel lima hakim terdiri daripada presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Richard Malanjum, Zainun Ali, Abu Samah Nordin dan Ramly Ali.
Hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali yang membacakan ringkasan keputusan itu berkata penukaran agama kanak-kanak tersebut sepatutnya mendapat persetujuan kedua ibu bapa.
Keputusan berkenaan disambut dengan pujian dari pelbagai lapisan masyarakat. Komuniti peguam juga melihatnya sebagai keputusan penting yang meletakkan undang-undang sivil mengatasi undang-undang syariah. – 30 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan