SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini mengecam keputusan kerajaan meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 tanpa Klausa 88A, berkata masih tidak ada penyelesaian dalam menangani isu utama pertukaran agama anak sebelah pihak.
Pengerusinya, Razali Ismail berkata Klausa 88A yang bermatlamat untuk mengakhiri perbuatan menukar agama anak bawah umur secara unilateral, sepatutnya dapat menyelesaikan konflik hak penjagaan antara agama, ibu bapa beragama Islam dan bukan Islam.
Ia juga dapat mewujudkan standard piawaian yang sesuai untuk diselaraskan dengan prinsip terbaik bagi anak berkenaan degan hak perlembagaan ibu bapa dalam melaksanakan hak kebebasan beragama.
“Suhakam mengiktiraf beberapa perubahan progresif ditemui dalam pindaan akta itu khusus berkenaan pembubaran perkahwinan sivil dan agihan harta sepencarian kepada pihak berkenaan.
“Namun isu utama melarang pertukaran agama sebelah pihak yang menjejaskan banyak pihak dan masa depan ramai anak kekal tanpa penyelesaian walaupun kerajaan sebelum ini menunjukkan akan menyelesaikan perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan, menambah Suhakam percaya jalan penyelesaian ada dalam pindaan Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata suruhanjaya itu mendesak kerajaan untuk memberi komitmen tegas dalam isu itu dan mengiktiraf kepentingan kedua-dua ibu bapa mempunyai hak secara saksama dan kuasa berkaitan agama, hak jagaan dan pembesaran anak mereka.
RUU Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 diluluskan awal pagi semalam, tanpa Klausa 88A yang amat penting untuk mendefinisikan lebih jelas agama anak susulan ibu atau bapa mereka memeluk agama Islam.
Seramai 20 ahli Parlimen membahaskan klausa dan pindaan itu termasuk Klausa 88A yang dikeluarkan daripada RUU itu, tiga hari lalu.
Klausa 88A yang menyatakan agama anak perlu dikekalkan dalam agama di mana dia dibesarkan sebelum salah seorang ibu bapanya memeluk Islam, pada mulanya dimasukkan dalam pindaan RUU yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama tahun lalu.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said pada Isnin mengumumkan kerajaan akan membentangkan RUU baharu tanpa klausa kontroversi itu bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Azalina berkata pindaan itu bermatlamat untuk memberi ruang kepada pasangan yang memeluk Islam selepas berkahwin dan pasangan di mana salah seorang daripadanya memeluk Islam, untuk memfailkan perceraian di mahkamah sivil.
Katanya, ia juga untuk melindungi isteri dan anak.
Azalina berkata pindaan itu tidak menafikan hak seseorang di mahkamah syariah sebaliknya menggalakkan seseorang menjadi lebih bertanggungjawab dengan menceraikan pasangannya di mahkamah sivil.
Ia juga memberikan hak kepada pasangan untuk memohon relif sampingan seperti wang tanggungan, hak jagaan anak dan pembahagian harta sepencarian.
Pindaan kepada RUU itu juga memberi hak yang sama kepada ibu atau ibu angkat untuk memberi kebenaran berkahwin bagi anaknya berumur bawah 21 tahun. – 11 Ogos, 2017.
Komen