MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) telah menangguhkan siasatannya terhadap pembunuhan rakyat sendiri yang didakwa dibuat atas nama “perang melawan dadah” oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte.
Mahkamah berpangkalan di Hague pada September mengarahkan siasatan terhadap kempen yang telah menyebabkan beribu-ribu rakyat Filipina terkorban, berkata ia sama macam serangan haram dan sistematik terhadap rakyat sendiri.
Duterte dipilih pada 2016 atas janji kempen untuk menghapuskan masalah dadah Filipina, secara terbuka mengarahkan polis membunuh suspek dadah.
Sekurang-kurangnya 6,181 orang maut dalam lebih 200,000 operasi antidadah yang dijalankan sejak Julai 2016, menurut data rasmi terkini dikeluarkan Filipina.
Pendakwa raya ICC melalui dokumen mahkamah menganggarkan angka kematian menjangkau antara 12,000 dan 30,000 korban.
Menurut dokumen mahkamah itu, duta Filipina Eduardo Malaya meminta penangguhan.
“Pihak pendakwaan telah mengangguhkan sementara aktiviti siasatannya sementara ia menilai skop dan kesan permintaan penangguhan itu,” tulis pendakwa raya ICC Karim Khan dalam pemberitahuan kepada mahkamah bertarikh 18 November.
Beliau berkata pihak pendakwa akan meminta maklumat tambahan daripada Filipina.

Duterte menarik keluar Manila daripada ICC pada 2019 selepas ia melancarkan siasatan awal, namun mahkamah berkata ia ada bidang kuasa terhadap jenayah yang dilakukan semasa Filipina masih menjadi ahli.
Selepas sekian lama enggan mengakui mahkamah ada kuasa untuk campur tangan dan enggan bekerjasama, Duterte berundur pada Oktober, berkata beliau akan bersedia untuk bela diri.
Dalam suratnya meminta penangguhan, duta Malaya berkata kerajaan Filipina sedang menyiasat dakwaan jenayah kemanusiaan yang dilakukan semasa perang dadah.
Beliau berkata kerajaan Filipina “telah menjalankan, dan terus menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua kematian yang dilaporkan semasa operasi antidadah di negara itu”.
Human Rights Watch menolak dakwaan mekanisme domestik Filipina yang sedia ada memberikan keadilan kepada rakyat sebagai “tidak masuk akal” sebagai percubaan untuk halang siasatan ICC.
“Cuma 52 daripada beribu-ribu pembunuhan berada di peringkat awal siasatan. Walaupun banyak kes pembunuhan yang jelas, tiada pertuduhan difailkan,” kata pengarah kumpulan hak asasi manusia itu, Brad Adams melalui ciapan di Twitter pada Sabtu.
“Realitinya, ia sudah jadi norma di bawah Presiden Duterte, itulah sebabnya ICC perlu siasat. Semoga ICC lihat melangkaui muslihat itu.” – AFP, 20 November, 2021.
Komen