Pakatan tubuh jawatankuasa khas bagi rundingan kerusi Selangor


Chan Kok Leong

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata kegagalan PH Selangor dalam memuktamadkan peruntukan kerusi di negeri itu adalah disebabkan 'salah faham' berkenaan landasan yang betul untuk mengadakan rundingan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Januari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) telah membentuk satu jawatankuasa khas bagi meneliti pembahagian kerusi antara semua parti komponennya di Selangor, kata Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kegagalan PH Selangor dalam memuktamadkan peruntukan kerusi di negeri itu adalah disebabkan “salah faham” berkenaan landasan yang betul untuk mengadakan rundingan.

“Ada beberapa salah faham berkenaan badan mana yang patut meneliti pembahagian kawasan. Mereka meletakkan kepercayaan pada jawatankuasa pilihan raya. Tetapi sepatutnya jawatankuasa khas.

“Kami telah menubuhkan satu jawatankuasa khas. Mereka akan mengambil alih serta masalah itu akan diselesaikan,” kata calon perdana menteri PH itu di sidang media yang diadakan di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Sebelum ini dilaporkan berlaku kekeliruan mengenai rundingan kerusi di Selangor kerana parti-parti komponen PH iaitu DAP, PKR, Amanah dan Bersatu tidak sepakat sama ada rundingan tersebut sudah dimulakan.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali semalam berkata PKR Selangor sendiri belum memuktamadkan kerusi dan calonnya.

Dr Mahathir juga menepis kekecohan yang berlaku di konvensyen PH Negeri Sembilan yang dicetuskan ahli-ahli Bersatu.

“Ada sedikit rasa tak puas hati di sana, tetapi yang peliknya, bahagian yang dapat kerusi yang bising. Yang tak dapat kerusi tak komplen apa-apa,” kata bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu.

Berkenaan rundingan kerusi di negeri-negeri lain, Dr Mahathir berkata ianya masih berterusan.

Dr Mahathir juga berkata Pendaftar Pertubuhan (RoS) sengaja melengahkan masa mengenai status pendaftaran Pakatan Harapan supaya pakatan pembangkang itu tidak boleh bersiap sedia untuk pilihan raya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Januari, 2018.

“Saya yakin apabila PRU14 diadakan, kita akan dapat menamakan satu calon bagi setiap kawasan Parlimen dan negeri. Kami akan menjadi satu pakatan supaya kami boleh lawan BN.”

Dr Mahathir berkata Majlis Presiden PH telah meneliti perkembangan rundingan di Sabah dan berpuas hati dengan usaha yang dijalankan di sana.

“Kami ada DAP dan PKR di Sabah yang sudahpun ada kerjasama di sana. Kami juga maklum mengenai Warisan dan tidak mahu bertembung dengan mereka. Jadi, mungkin akan ada hubungan kerjasama antara PH dan Warisan,” tambah Dr Mahathir.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata Majlis Presiden PH telah membincangkan pelbagai isu mengenai status pendaftarannya dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan laporan mengenai rundingan kerusi.

Sehingga hari ini, tiada jawapan atau makluman dari RoS. Ini sengaja dibuat untuk melengahkan masa kami dan supaya kami tidak boleh bersiap sedia untuk pilihan raya.

“Ia dibuat supaya kami tak tahu sama ada kami boleh menggunakan logo dan jika parti kami didaftarkan. Ini pengkhianatan kepada rakyat, kerana mereka tidak dibenarkan mengundi pemimpin mereka seperti mana mereka (pemimpin) mahu,” katanya. – 30 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • dah dekat PRU pn belum ada keputusan muktamad lagi, salah faham la berebut kerusi la, macam mana nak tadbir kerajaan

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan