Diplomat EU berhak mendengar dari pihak kami, kata Dr Mahathir 


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Januari, 2018. 

PERTEMUAN Pakatan Harapan dengan diplomat Kesatuan Eropah (EU) adalah untuk menjelaskan apa yang berlaku dalam negara, kata Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau berkata, diplomat EU berhak untuk mendengar dari pihaknya berikutan media arus perdana tidak mempublisitikan salah laku kerajaan.

“Kamu hanya mendapat maklumat yang baik tentang kerajaan daripada media dan semua media arus perdana dikawal oleh kerajaan. Malah, pada Perhimpunan Agung Umno pun tidak dibenarkan berbincang mengenai salah laku, menyebabkan diplomat EU dalam kesamaran. 

“Mereka berhak untuk tahu mengenai bagaimana kerajaan menjadikan pilihan raya kotor dan tindakan yang diambil LHDN terhadap beberapa individu,” kata pengerusi PH itu. 

Katanya, PH mengambil peluang untuk menjelaskan perkara ini kepada diplomat berkenaan dan turut mempersoalkan tindakan EU terhadap minyak kelapa sawit. 

“Kita mahu tahu mengapa EU bertindak demikian jadi kita boleh tentukan pendirian kita kemudian.”

Dr Mahathir turut meminta EU untuk menghantar pemerhati pada PRU14 namun diplomat itu berkata mereka hanya boleh berbuat demikian atas permintaan kerajaan Malaysia.

“Tetapi kerajaan ini takkan buat perkara itu dan kita meluahkan kekecewaan kepada mereka,” tambahnya. 

Beliau turut menjawab kenyataan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang menyelar bekas perdana menteri itu kerana mengadakan pertemuan dengan diplomat asing.

“Pembangkang sentiasa bertemu dengan diplomat asing dan tiada apa yang salah mengenainya. Saya hanya menentang beberapa kumpulan yang ditawarkan wang untuk mempromosikan ideologi tertentu,” kata Dr Mahathir. 

Beliau turut mengesahkan pertemuannya dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada satu majlis perkahwinan minggu lalu. 

Namun pemimpin berusia 92 tahun itu menolak cadangan kerjasama dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu pada PRU14. 

“Ku Li beritahu saya beliau sudah bersara dan tidak mahu terbabit dalam politik lagi. Saya bertemu dengannya pada majlis perkahwinan dan beliau duduk di sebelah saya dan kami tidak bincangkan tentang politik kerana beliau sudah bersara.” – 30 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen