Hishammuddin selar Dr Mahathir kerana bertemu duta negara Eropah


Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussien berkata tindakan Dr Mahathir Mohamad mengetuai pertemuan dengan duta negara Kesatuan Eropah pada Khamis lalu disifatkan sebagai tidak berpegang kepada prinsipnya yang sebelum ini tidak membenarkan pertemuan antara pembangkang dan duta asing di negara ini semasa pentadbirannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2018.

NAIB Presiden Umno Hishammuddin Hussein mengecam tindakan Dr Mahathir Mohamad kerana mengetuai pertemuan Pakatan Harapan (PH) dengan duta negara Kesatuan Eropah (EU) di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Beliau berkata tindakan bekas perdana menteri itu disifatkan sebagai tidak berpegang kepada prinsipnya yang sebelum ini tidak membenarkan pertemuan antara pembangkang dan duta asing di negara ini semasa pentadbirannya selama 22 tahun.

“Saya ingat  lagi…walaupun tidak ada pertimbangan politik, nak bincangkan pasal hubungan dua hala oleh pihak pembangkang dengan duta asing pun, dia marah betul.

“Tetapi, sekarang ini dia (Dr Mahathir) pula buat. Cakap tidak serupa bikin,” katanya mengulas tindakan pengerusi itu menggesa duta EU supaya memberikan tekanan kepada Perdana Menteri, Najib Razak supaya mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) secara bebas dan adil.

Hishammuddin, yang juga menteri pertahanan merangkap menteri tugas-tugas khas, berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Fasa 5 SAKJ Taman Sri Lambak dan SAKJ Paloh 2, di Kluang, hari ini.

Beliau, yang menjadi menteri belia dan sukan di bawah Kabinet Dr Mahathir dari 1999 hingga bekas perdana menteri itu meletak jawatan pada 2003, mendakwa selain pembangkang, duta asing juga disekat daripada bertemu dengan menteri Kabinet untuk bincang isu dua hala.

“Walaupun sudah diperjelaskan tidak ada topik perbincangan politik tetapi tetap dihalang,” katanya.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, EU disertai 14 duta dan tiga Kuasa Usaha Tetap di kediaman Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez.

Dalam pertemuan itu, PH juga menggesa negara-negara Eropah memohon kepada kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menghantar pemantau pilihan raya antarabangsa untuk PRU14. – Bernama, 27 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Lidah kontot dh meroyan

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan