Hakim putuskan anak pasangan warga asing lahir di Malaysia berhak dapat kerakyatan


MAHKAMAH Persekutuan memutuskan seorang remaja yang lahir di sini oleh ibu bapa kandung warga asing dan meninggalkannya semasa bayi berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Keputusan sebulat suara oleh panel lima hakim memutuskan budak lelaki itu, yang diambil sebagai anak angkat dan dibesarkan oleh pasangan Malaysia, memenuhi peruntukan Perlembagaan mengenai jus soli atau hak mendapat kerakyatan di sesebuah negara berdasarkan kelahiran di negara itu, lapor Malay Mail Online.

Mahkamah tertinggi juga mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Kanak-kanak lelaki yang kini berusia 17 tahun itu tidak dikenali dengan nama sebenar bagi melindungi identitinya.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel Mahkamah Persekutuan dan membacakan ringkasan keputusanhari ini, memerintahkan remaja itu adalah “warganegara mengikut kuat kuasa undang-undang berdasarkan kelahirannya di Malaysia, menurut Perkara 14(1) (b) dibaca bersama Seksyen 19B Jadual Kedua”, tulis Malay Mail Online memetik kenyataan itu.

Mahkamah tertinggi itu juga memberikan dua perintah lain - perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) pada 2017 yang mendaftarkan kanak-kanak itu sebagai bukan warganegara, dan perintah mandamus mengarahkan pendaftar mengeluarkan semula sijil kelahiran kanak-kanak itu sebagai warganegara Malaysia.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Persekutuan sebelum ini, peguamnya Cyrus Das dilaporkan berhujah beliau mempunyai hak di bawah prinsip jus soli berhubung kewarganegaraan Malaysia, tanpa mengira asal usul ibu bapa kandungnya.

Das juga berkata peruntukan Perlembagaan dalam Jadual Kedua tidak memerlukan kanak-kanak itu menunjukkan bukti identiti dan asal usul ibu bapa kandungnya, untuk melayakkan diri mendapat kewarganegaraan.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili JPN, berhujah yang kewarganegaraan ibu bapa kanak-kanak itu masih perlu ditentukan, tetapi tiada cara untuk berbuat demikian dalam kes itu.

Selain Ketua Hakim Negara Tengku Maimun, hakim lain dalam panel hari ini ialah Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang. – 19 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen