MAS Ermieyati Samsuddin akan dilantik menjadi ketua menteri jika Perikatan Nasional (PN) menang pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin .
Ini kali pertama dalam sejarah seorang wanita dipilih sebagai calon ketua menteri, katanya sewaktu mengumumkan perkara itu dalam sidang media.
“Keputusan pimpinan PN bersetuju menamakan Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri PN,” katanya.
Muhyiddin menyifatkan ketua Bersatu Masjid Tanah yang bertanding kerusi Tanjung Bidara itu sebagai seorang pemimpin yang berkelayakan dan profesional.
“Ini saya kira pertama kali dalam sejarah negara seorang wanita yang berkelayakan tinggi, profesional, muda, mempunyai banyak pengalaman ditawarkan sebagai calon ketua menteri.
“... Terbukti (PN) sentiasa memberikan peluang kepada sesiapa sahaja tidak kira jantinanya baik lelaki atau wanita untuk memegang jawatan penting seperti ini,” katanya.
Mas Ermieyati ditentang calon Barisan Nasional (BN) Ab Rauf Yusoh serta calon Pakatan Harapan (PH) Zainal Hassan di kerusi itu.
Ketika ditanya sama ada keputusan PN akan diterima rakyat Melaka, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata rakyat negeri itu inginkan pemimpin yang bersih tanpa mengira jantina.
“Kita harap begitu pasal saya pun sudah turun ke gelanggang di bawah saya dapati pengundi-pengundi Melaka cukup luas pengetahuan politik yang mahukan seorang pemimpin yang berwibawa.
“Mereka tidak cakap lelaki ke wanita, hanya hendak pemimpin yang bersih. Saya fikir ini satu calon yang sudah diterima.
“Saya harap pengundi akan bersikap terbuka untuk menerima beliau sebagai calon ketua menteri,” katanya.
BN mengumumkan bekas ketua menterinya Sulaiman Md Ali sebagai calon jawatan tersebut dan PH juga mempertaruhkan bekas ketua menterinya Adly Zahari dari Amanah untuk jawatan itu.
PRN Melaka akan berlangsung pada Sabtu. – 18 November, 2021.
Komen