PAS hari ini membantah terhadap sebarang usaha untuk memperkenalkan semula Seksyen 88A Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) dan menggalakkan langkah penyelesaian jangka panjang yang lebih komprehensif dalam menyelesaikan isu penukaran unilateral.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata cadangan untuk mengemukakan semula pindaan Seksyen 88A hanya akan menambah ketegangan terhadap isu yang sedia ada serta menyemarakkan kemarahan umat Islam.
“Kerajaan mencabar kemarahan umat Islam dengan bermain sentimen dalam hal ini.
“Inilah situasi yang telah kami duga sewaktu membantah Pindaan Akta 164 di Parlimen tempohari. Kebarangkalian Seksyen 88A kembali diangkat semakin nyata,” beliau berkata dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman dalam satu kenyataan semalam berkata Kabinet akan diberi taklimat mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan tidak lama lagi kerana keputusan semalam membatal semua keputusan sebelum ini.
Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 tanpa Seksyen 88A diluluskan pada 10 Ogos telah mendapat kritikan dari pemimpin pembangkang.
Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi kepada agama Islam oleh bekas suaminya sebagai batal dan tidak sah.
Hakim Zainun Ali yang membacakan ringkasan keputusan itu berkata bahawa penukaran agama kanak-kanak itu perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa.
Nasrudin berkata keputusan semalam merupakan satu lagi episod pertembungan mahkamah sivil dan mahkamah syariah di negara ini.
“PAS membantah keras pendirian kerajaan untuk mencadangkan dikemukakan semula pindaan Seksyen 88A,” katanya dan menyifatkan ia bersifat berat sebelah.
“Kerajaan dilihat terus menerus tunduk kepada pihak yang menentang Islam. Ini perkembangan yang sangat mendukacitakan bagi umat Islam.”
Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam membatalkan keputusan majoriti 2-1 mahkamah rayuan pada 30 Disember 2015 untuk mengembalikan sijil penukaran agama tiga anak Indira yang dibatalkan Mahkamah Tinggi Ipoh.
Mahkamah Persekutuan memutuskan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa memutuskan kesahihan penukaran agama anak, yang dikatakan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah.
Anak-anak Indira, seorang lelaki dan dua perempuan berumur 20, 19 dan 9 tahun telah ditukar ke agama Islam oleh bapa mereka, Riduan, 47 yang dulunya dikenali sebagai K. Pathmanathan, pada April 2009 selepas dia memeluk Islam.
Pertukaran agama ketiga-tiga anaknya yang ketika itu berumur 12 dan 11 tahun serta 11 bulan itu dibuat tanpa persetujuan Indira. – 30 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan