KEPUTUSAN kerajaan Kedah mengharamkan semua operasi kedai nombor ekor mungkin memberi kesan perundangan jika Malaysia meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata Mukhriz Mahathir hari ini.
“Kalau kerajaan persekutuan meratifikasi CPTPP, pasaran akan jadi lebih liberal,” kata bekas menteri besar Kedah itu semasa sidang media Zoom.
“Sesiapa sahaja boleh masuk (Malaysia) dan bersaing dalam sektor tertentu yang bukan sebahagian daripada langkah tidak dimaklumkan.
“Kalau kerajaan negeri mahu hentikan semua permit judi dan arak dengan lesen, ada kemungkinan ini bertentangan dengan CPTPP dan membuka kepada kesan perundangan,” katanya.
Pada hujung minggu lalu, kerajaan Kedah pimpinan PAS mengumumkan akan mengharamkan semua kedai nombor ekor dalam usaha membendung perjudian.
Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata susulan itu pihak berkuasa tempatan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan bagi premis berkenaan.
Sementara negeri keluarkan lesen perniagaan untuk premis seperti itu, lesen judi dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.
Mukhriz, yang juga ahli Parlimen Jerlun, berkata ironi apabila kerajaan negeri guna isu pusat judi sedangkan ia sokong CPTPP.
“Ironi sekali kerajaan negeri mahu ambil langkah ini sedangkan ia tidak tentang kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk tandatangani perjanjian ini yang akan gagalkan percubaan mereka.”
CPTPP akan mengutamakan layanan kepada ahlinya — malah 11 negara termasuk Malaysia telah menandatangani perjanjian tersebut.
Bagaimanapun, sehingga kini, hanya tujuh negara iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura dan Vietnam telah meratifikasi CPTPP.
CPTPP merangkumi hampir semua aspek perdagangan, termasuk e-dagang, perusahaan milik negara (SOE) dan disiplin tambahan mengenai hak harta intelek (IP) serta halangan teknikal untuk perdagangan. – 17 November, 2021.
Komen